YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun 1433H/2011M, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika hadir pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, sebentar tadi. - Foto Afendi Mohamed
PUTRAJAYA, AHAD, 27 November, 2011: YABG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menasihati semua rakyat negara ini agar sentiasa mengamalkan kesederhanaan sosial dalam setiap amalan mereka.
PUTRAJAYA, AHAD, 27 November, 2011: YABG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menasihati semua rakyat negara ini agar sentiasa mengamalkan kesederhanaan sosial dalam setiap amalan mereka.
Baginda bertitah, kesederhaaan sosial dalam pelaksanaan sesuatu perkara secara berhemah, tidak bertindak secara melulu dan tidak pula menzalimi orang lain.
"Rakyat tidak sepatutnya memperbesarkan perselisihan yang kecil sebaliknya menyelesaikannya dengan cara yang terbaik," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah 1433 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku, Nur Zahirah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga hadir pada majlis sambutan itu yang bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah".
Seri Paduka Baginda juga bimbang dengan keadaan sosialisasi masyarakat negara ini yang semakin menebal dengan sifat individualistik walaupun berpuas hati dengan pencapaian ekonomi negara yang berkembang pesat seiring dengan negara-negara sedang membangun.
Tuanku Mizan mahukan sifat mulia seperti sayang menyayangi dan saling hormat-menghormati dipupuk dan diamalkan dari rumah bagi membentuk sebuah masyarakat penyayang, persefahaman yang tinggi, bersatu padu dan mementingkan sifat kekitaan.
"Beta amat berharap agar semangat kejiranan dan sifat kekitaan akan subur semula supaya rakyat di negara ini menjalani kehidupan harian dengan lebih harmoni dan berkasih sayang," titah Seri Paduka.
Tuanku Mizan juga menasihatkan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum yang berbeza agama, adat, budaya dan cara hidup supaya saling memahami keperluan dan menghormati perbezaan antara satu sama lain.
Justeru, Seri Paduka mahukan umat Islam menjadi contoh terbaik dalam mengaplikasikan konsep sebenar persefahaman tanpa mengira kedudukan dan latar belakang.
Menurut baginda hanya dengan persefahaman dan menghormati antara satu sama lain, negara mampu membentuk masyarakat yang bersatu padu.
"Kita harus tahu dan sedar bahawa keamanan negara amat berkait rapat dengan perpaduan ummah. Tidak mungkin masyarakat yang kacau bilau mampu mengekalkan keamanan sesebuah negara.
Tuanku Mizan turut mahukan keharmonian yang dikecapi dan dinikmati sekarang diwarisi oleh generasi akan datang.
Sempena dengan sambutan Maal hijrah, Menteri Haji Arab Saudi, Dr Fouad Abdul Salam, 65 dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah antarabangsa dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah kebangsaan.
Pada majlis itu, Abdul Shukor,69 menerima anugerahkan itu daripada Yang di-Pertuan Agong sementara Dr Fouad akan menerima anugerah berkenaan kemudian kelak.
Kedua-dua tokoh itu, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM100,000 yang disumbangkan kerajaan, RM10,000 oleh Yayasan Ubaidi, plak dan sijil penghargaan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment