My Add

Sunday 27 November 2011

Kelemahan pembangkang bukan kelebihan pada UMNO

MUAR, AHAD, 27 November, 2011: 
AHLI dan pemimpin UMNO diingatkan bahawa cerita mengenai kelemahan parti pembangkang sebenarnya tidak memberi kelebihan kepada sokongan rakyat terhadap parti itu dan kerajaan. 

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim, berkata mereka tidak seharusnya dibuai kegembiraan dengan cerita sedemikian sebaliknya perlu terus memenangi hati rakyat bagi memastikan sokongan terhadap parti dan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan memberi contoh dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menganggap Johor tidak selamat dan tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mendewa-dewakan Mat Indera, pemimpin Komunis yang mengetuai serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

"Kita jangan hanya menggunakan isu-isu ini dalam meraih sokongan rakyat. Kita perlu mamahami apa yang kita laksanakan seperti tranformasi ekonomi yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak, supaya rakyat akan sayang kepada UMNO dan kerajaan. 

"Apabila rakyat sudah percaya, mereka akan sayang kepada UMNO dan mengharapkan parti itu akan terus kekal berkuasa," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis berkhatan di Poliklinik Hospital Pakar Sultanah Fatimah hari ini. 

Beliau berkata, apa yang anggota dan pemimpin UMNO perlu lakukan ialah berbuat sesuatu sehingga masyarakat menaruh harapan kepada parti dan akan merasakan parti itu perlu kekal sepanjang masa. 

Mengenai saranan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid supaya anggota parti mengadakan 'gencatan senjata' dan menumpukan usaha menghadapi pilihan raya umum ke 13, Razali berkata, mereka perlu mengutamakan perkara yang penting dahulu.

"Ini kerana keutamaan anggota parti tidak betul, mereka lebih mengutamakan kedudukan jawatan dan cita-cita hendak menjadi calon dalam pilihan raya daripada tanggungjawab sebenar sebagai anggota parti," katanya. 

Beliau berkata, jika semua anggota parti boleh berada di tengah masyarakat di merata tempat dan menjalankan tugas dengan berkesan, masyarakat akan bukan sahaja sayangkan parti, malah akan merasa kehilangan tanpa kehadiran UMNO. 

"Apa juga perkara yang boleh membuatkan orang menyampah kepada UMNO, jangan dibuat, barulah di mana kita berada kita disayangi dan disenangi rakyat," katanya. 

Seramai 170 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dari kawasan Parlimen Muar menyertai program anjuran bersama anggota Parlimen Muar itu dengan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment