My Add

Monday, 28 November 2011

Pemimpin perlu faham realiti - Raja Nazrin

 RAJA Dr. Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah Tokol Maal Hijrah kepada Termizi Mohamed pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1433 Peringkat Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), Ipoh, semalam.


IPOH, ISNIN, 28 November, 2011:
RAJA Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, semua pemimpin di negara ini perlu benar-benar memahami realiti dan berpijak di bumi nyata dalam membantu mereka menghadapi senario masa kini.

Titah baginda, amat penting bagi pemimpin untuk memahami realiti yang berlaku agar setiap usaha dan hasrat yang dirancang dapat dilakukan berasaskan premis realiti yang tepat.

Baginda bertitah, tanpa fakta yang tepat, hasrat yang diimpikan dan usaha yang dirintis tidak akan mencapai matlamat yang diingini.

"Sering kali berlaku kecenderungan pemimpin dilindungi daripada mengetahui realiti sebenar. Malah ada kalanya, lebih tinggi status seseorang pemimpin, bertambah jauh dan terpisahlah dia daripada realiti di bumi nyata.

"Malah, jurang di antara kebenaran dan kepalsuan bertambah luas apabila pemimpin dipagari oleh individu-individu berkepentingan sehingga mereka lebih memilih cerita kejayaan dan menyembunyikan kegagalan," titah Raja Nazrin.

Baginda bertitah demikian pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1433 Peringkat Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini semalam.

Pada majlis itu Raja Nazrin berkenan menyampaikan anugerah Tokol Maal Hijrah 1433 kepada Hakim Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan negeri, Datuk Termizi Mohamed, 73.

Turut berangkat pada majlis itu ialah isteri baginda, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Raja Nazrin bertitah, pemimpin yang arif adalah pemimpin yang berminat mengetahui kelemahan dan kesilapan serta dengan segera memperbetulkan walaupun tentangan yang perlu dihadapinya.

Malah titah baginda, pemimpin yang arif harus berasa aneh jika terlalu banyak cerita kejayaan dan terlalu tinggi kata pujian dilaporkan.

"Cerita kejayaan dan kata pujian diterima adalah satu mandat atau satu ketagihan di minda yang amat cepat mempengaruhi manusia untuk bersifat angkuh dan menjadi selesa sehingga berpotensi menjatuhkan mereka.

"Pemimpin yang cekal, yakin dan berani untuk menegakkan kebenaran terutama dalam mempertahankan kalimah tauhid dan mempertahankan kesucian Islam akan sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan Ilahi.

"Oleh itu, dalam menyempurnakan amanah berkenaan, Raja dan ummah wajib bersama dan ummah perlu bersatu dalam memastikan perkara-perkara yang menyentuh kesucian Islam dapat terus dipertahankan," titah baginda. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment