My Add

Sunday, 27 November 2011

Konsep Wasatiyyah langkah tepat

MUHYIDDIN Yassin, Mohd. Shafie Apdal, Mohd. Ali Rustam, Ahmad Maslan, Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Dr. Chandra Muzaffar, Ridhuan Tee dan Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas (tiga dari kiri) pada Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, AHAD, 27 November, 2011: TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah yang diambil kerajaan untuk memperkenalkan konsep dan pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan adalah tepat pada masa dan ketikanya.

MOHD. ASRON MUSTAPHA dan METRA SYAHRIL MOHAMED melaporkan,
Timbalan Perdana Menteri berkata, wasatiyyah mendidik rakyat berfikir dan bertindak secara bijaksana, berkesan, mengajar agar tidak melampau, ekstrem, fanatik, taksub, jumud serta tidak terlalu liberal.

Tambahan pula, jelas beliau, ketika ini rakyat dalam proses memantapkan budaya hidup berdasarkan manhaj Malaysia yang diserasikan dengan keadaan semasa negara selain persekitaran antarabangsa.

“Kerajaan meletakkan asas tepat apabila mengambil pendekatan sederhana dalam teras dasar untuk memacu pembangunan negara secara berkesan dengan kesejahteraan rakyat menjadi faktor terpenting,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah anjuran Penerangan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Menurut Muhyiddin, sifat fanatik dan taksub hanya akan menyebabkan seseorang itu menutup fikiran mereka untuk menerima sebarang maklumat daripada pihak yang tidak disenangi, sehingga keputusan dibuat menjadi berat sebelah.

Pada masa sama, kata beliau, golongan pelampau pula akan memperlihatkan sifat berprasangka buruk, memandang serong, menuduh, menghukum dan menyembunyikan kebaikan tetapi memilih memperbesarkan kesilapan orang lain.

“Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi ketika ini adalah natijah daripada sikap wasatiyyah majoriti rakyat yang tidak mengamalkan budaya hidup melampau. Amalan inilah yang harus kita sama-sama kekalkan,” ujarnya.

Wasatiyyah tenggelamkan fahaman ekstremis

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, amalan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) dilihat mampu 'menenggelamkan' fahaman ekstremis khususnya di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Katanya, ia juga memberi mesej agar semua pihak mengetepikan fahaman tersebut dalam apa jua tugas dan amanah yang dijalankan.

"Pendekatan wasatiyyah adalah selaras dengan gagasan 1Malaysia dan ia semakin diterima baik kalangan lapisan masyarakat.

"Wasatiyyah adalah akar kepada gagasan 1Malaysia. Ia memberi mesej mengetepikan ekstremis dalam pelbagai tugas serta amanah yang dijalankan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di seminar kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Seminar anjuran Penerangan UMNO itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, konsep berkenaan mampu 'memandu' seseorang ke arah kebaikan, kemajuan, benar dan merdeka.

"Dalam Perlembagaan negara juga ada wasatiyyah iaitu berlaku adil. Kita perlu berlaku adil kepada semua kaum.

"Selain adil, konsep tersebut merangkumi keseimbangan, pertengahan dan kesederhanaan. Inilah yang perlu diamalkan oleh semua pihak," ujarnya. - Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment