My Add

Sunday 27 November 2011

Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera dilancar

Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 November, 2011:  DATUK Seri Najib Tun Razak melancarkan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera iaitu program khusus bagi memperkukuhkan penyertaan bumiputera dalam bidang ekonomi negara yang sekali gus manfaatnya akan turut dikecapi oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sambil menyifatkan ia merupakan titik permulaan kepada lonjakan ekonomi negara dan bumiputera, Perdana Menteri berkata, tiga fokus strategik telah ditetapkan dalam hala tuju tersebut dan kesemuanya berperanan menangani ketidakseimbangan sedia ada terutama dalam konteks tahap pendapatan dan pemilikan kekayaan di kalangan bumiputera.

Ujarnya, fokus strategik pertama ialah pengukuhan pendidikan serta pembinaan keupayaan bumiputera dan salah satu inisiatif di bawahnya adalah penubuhan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

''Yayasan ini merupakan satu dana amanah pendidikan swasta yang bertujuan menggembleng dan memanfaatkan pembiayaan swasta bagi meningkatkan tahap pendidikan bumiputera.

''Yayasan ini menyasarkan pembiayaan seramai 12,000 pelajar dalam tempoh lima tahun. Tumpuan juga akan diberikan kepada pembiayaan kursus latihan dan profesional bagi tenaga kerja bumiputera untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengamalan kerja mereka,'' katanya ketika berucap melancarkan program tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, para peneraju korporat dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Husni Salleh.

Mengenai sumber dana yayasan berkenaan, Perdana Menteri berkata, ia termasuk sumbangan daripada kerajaan sebanyak RM30 juta, golongan korporat serta individu.

''Dalam tempoh lima tahun yayasan itu menyasarkan dana berjumlah RM500 juta dan setakat ini yayasan telah menerima pengakuan dana sebanyak RM158 juta daripada 21 syarikat serta institusi,'' katanya.

Ujarnya, yayasan itu akan mula beroperasi pada tahun depan.

Najib berkata, fokus strategik lain di bawah hala tuju itu ialah pembaharuan instrumen dasar dan rasionalisasi sistem penyampaian bertujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya.

''Salah satu inisiatif yang telah dikenalpasti di bawah strategi ini ialah mewujudkan pusat sehenti di peringkat koridor dan negeri. Ia akan menyelaras semua program daripada pelbagai agensi dalam satu lokasi sama ada di peringkat negeri atau wilayah.

''Dengan adanya pusat sehenti itu, usahawan tempatan boleh mendapatkan sokongan yang diperlukan tanpa perlu berkunjung ke setiap agensi berkenaan secara berasingan daripada sokongan kapasiti dan keupayaan hinggalah akses kepada pembiayaan,'' ujarnya.

Untuk itu, katanya, pusat sehenti yang pertama terletak di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan dijangka beroperasi suku pertama tahun depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, golongan bumiputera merupakan sebahagian besar penduduk negara, oleh itu aspirasi untuk mencapai tahap negara maju serta berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai dengan penglibatan bersama golongan berkenaan. - Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment