My Add

Monday, 28 November 2011

Konsep Wasatiyyah jamin perpaduan negara: Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 November, 2011: 
KONSEP wasatiyyah atau kesederhanaan adalah pendekatan yang amat sesuai diamalkan oleh negara berbilang kaum seperti Malaysia bagi mengelak rakyat mengamalkan budaya hidup yang melampau demi perpaduan negara.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, konsep itu dapat membantu dalam usaha mengekang budaya atau kegiatan fanatik dan ekstremis dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Kita perlu memahami konsep ini dan melaksanakannya dalam semua bidang seperti ekonomi, politik dan sosial bagi menjamin kestabilan, keharmonian, kesejahteraan serta perpaduan rakyat dan negara.

“Perpaduan adalah elemen yang begitu penting bagi negara pada masa hadapan. Oleh itu, pelaksanaan konsep tersebut harus melibatkan semua peringkat masyarakat tanpa mengira kaum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau diminta mengulas langkah kerajaan memperkenalkan konsep itu supaya mendidik rakyat berfikir, bertindak secara bijaksana dan berkesan pada Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah semalam.

Tambah Lam Thye, kesedaran masyarakat terhadap konsep itu masih tidak mencapai tahap yang membanggakan dan masih mempunyai ruang untuk diperbaiki.

“Penerapan konsep itu dapat mengurangkan atau mengelakkan masyarakat melibatkan diri dalam kegiatan ekstremis yang bakal mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara serta mengundang perpecahan terhadap perpaduan negara,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan konsep itu harus bermula di peringkat tertinggi iaitu tokoh-tokoh tertinggi termasuk tokoh politik supaya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

“Saya cadangkan pelaksanaan konsep dimulakan dengan tokoh-tokoh tertinggi dan mereka ini perlu mempraktikkan konsep itu dalam ucapan dan aktiviti yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Lam Thye menyeru semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, budaya dan bangsa supaya menerima konsep tersebut kerana tujuannya adalah mencapai kestabilan dan perpaduan negara.

No comments:

Post a Comment