My Add

Sunday, 27 November 2011

Tangani isu sensitif secara berhemah - Sultan Ahmad Shah

KUANTAN, AHAD, 27 November, 2011:
SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, setiap isu sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat negara ini perlu ditangani dengan penuh persefahaman, rasional dan berhemah.

Baginda bertitah, isu tersebut tidak sepatutnya dibicarakan secara terbuka demi menjalinkan keharmonian hidup bermasyarakat walaupun diberi hak bersuara.

"Islam menentukan setiap kebebasan mempunyai batas dan sempadan tertentu termasuk hak bersuara. Secara amnya kita bebas untuk melakukan sesuatu tetapi mestilah tertakluk kepada sistem dan peraturan negara serta nilai-nilai yang ditentukan oleh agama moral dan budaya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" di sini hari ini.

Berangkat ke majlis berkenaan, Sultanah Pahang, Sultanah Khalsom. Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz.

Baginda menegaskan, tidak sewajarnya ada kelompok yang terbawa-bawa dengan cara masyarakat yang kononnya mengikut undang-undang dan menuntut apa sahaja atas nama hak dan kebebasan individu.

"Tidak wajar bagi mereka menuntut apa sahaja atas nama hak dan kebebasan individu sehingga membelakangkan sensitiviti agama, nilai dan budaya masyarakat negara ini.

"Justeru, dengan tema penghayatan Maal Hijrah kali ini dapat melahirkan warga yang saling hormat-menghormati dan bertolak ansur serta menjunjung tinggi prinsip perpaduan dan toleransi sejagat," titah baginda. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment