My Add

Sunday, 27 November 2011

Gerakan kesederhanaan rujuk falsafah al-Quran

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Najib, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (kanan) pada majlis bacaan Yaasin sempena Maal Hijrah di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.Program transformasi hijrah demi masa depan negara

Oleh Norfatimah Ahmad
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 November, 2011:
DATUK Seri Najib Razak berkata, agenda penghijrahan ekonomi dan pembangunan negara selama ini membuktikan falsafah kesederhanaan dan keseimbangan adalah pencapaian hebat dan mesej dakwah Islamiah yang besar pada tahap global. 

Dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1433 Hijrah menerusi laman blog 1Malaysia, semalam, Perdana Menteri menjelaskan, sama ada pada peringkat Asia atau dunia, negara konsisten menyarankan pembentukan pergerakan kesederhanaan dengan merujuk semangat ajaran al-Quran dan sunnah.

Beliau berkata, sambutan Maal Hijrah adalah kesinambungan dalam memperingati dan menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang mengubah senario dan landskap dunia.

“Begitulah juga kita. Jika kita tidak berani melakukan penghijrahan dan transformasi di dalam negara, maka bangsa kita akan ketinggalan. Sebab itulah, kita berhijrah dengan melaksanakan Agenda Transformasi Negara menerusi beberapa pelan tindakan yang kukuh meletakkan Malaysia di landasan tepat dalam pelbagai bidang, terutama ekonomi. 

“Penghijrahan besar yang kita lakukan apabila memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) menjadikan negara terus aktif dan berdaya saing, walaupun berdepan krisis ekonomi global yang semakin mencabar,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak Januari sehingga September lalu, kadar pertumbuhan purata dicatatkan negara ialah 5.1 peratus, manakala kadar pertumbuhan bagi suku ketiga tahun ini sekitar 5.8 peratus.

Menyingkap zaman penghijrahan Rasulullah SAW, beliau berkata, umat Islam ketika itu berubah daripada umat ditindas kepada kuat dan gagah serta mampu memerintah, mentadbir Madinah dan memiliki kerajaan sendiri, selain bebas bergerak menyampai dan mengembangkan dakwah Islam. 

“Sesungguhnya roh dan perjalanan hijrah Rasulullah SAW begitu strategik hingga tercapainya al-Falah dan tegaknya Daulah Islamiah kerana ia didokongi kepaduan iman dan takwa. Kejayaan hijrah ini juga mengubah landskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu sehingga ke hari ini,” katanya.

Beliau mewakili keluarganya menyampaikan ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1433 Hijrah kepada umat Islam seluruh negara dengan harapan ia disambut dalam suasana kesyukuran dan keharmonian pelbagai bangsa selaras tema sambutan tahun ini, iaitu ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’. - Berita Minggu

No comments:

Post a Comment