My Add

Monday 9 April 2012

30 anak FELDA ikuti latihan di Cardiff City

NAJIB bersalaman dengan kanak-kanak yang menyertai 1MCC pada majlis pelancaran Liga 1Malaysia Cardiff City 2012 di Pusat Penyelidikan Getah, Sungai Buloh, semalam.

Liga 1MCC majukan sukan bola sepak negara: PM

Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Mohd Fitrie Muhamad

SUNGAI BULOH: Sekurang-kurang 30 anak FELDA akan dihantar untuk mengikuti pendedahan latihan bola sepak selama sebulan bersama Cardiff City Football Club di United Kingdom, kata Datuk Seri Najib Razak. 

Perdana Menteri berkata, peserta muda terbabit akan dipilih dari kalangan anak FELDA yang terbaik dalam sukan bola sepak dan program julung kali berkenaan ditaja sepenuhnya oleh FELDA.

“Saya berharap kita dapat memilih 30 anak berkenaan dan memberi mereka pengalaman berada di Cardiff. Saya pasti mereka akan merasai keseronokan sepanjang hayat berada di sana dan diharap mereka membangunkan skil serta menjadi antara nama besar ikon (bola sepak) pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Liga 1Malaysia Cardiff City (1MCC) 2012 di Pusat Penyelidikan Getah (RRI) di sini, hari ini..

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi 1MCC merangkap Pengerusi Cardiff City Football Club, Datuk Chan Tien Ghee; dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad.

Pada majlis itu, Najib turut beramah mesra dengan peserta Liga 1MCC 2012 yang berkumpul di padang RRI. Malah, beberapa jurulatih dari Cardiff City Football Club hadir untuk mengendalikan sesi latihan mini.

Liga berkenaan dibahagikan kepada tiga peringkat umur, iaitu bawah 12 tahun, bawah 14 tahun serta bawah 16 tahun. Lebih 88 pasukan dengan sejumlah 2,200 pemain, termasuk dari Lembah Klang, Perak serta Pulau Pinang, menyertai liga kali ini yang bermula bulan lalu dan dijadualkan berakhir pada Disember depan. 

Najib berkata, beliau menyokong sepenuhnya kewujudan Liga 1MCC kerana yakin dan percaya ia akan memberi kesan amat besar kepada perkembangan serta masa depan sukan bola sepak negara.

Sehubungan itu, katanya, usaha memajukan sukan bola sepak negara harus bermula dari peringkat akar umbi, terutama di dalam kalangan kanak-kanak dan generasi muda, secara terancang dengan pembangunan sistematik bagi meningkatkan mutunya, termasuk latihan dan amalan yang betul.

Katanya, rakyat Malaysia amat meminati bola sepak, malah sukan itu sering menjadi topik perbualan dalam keluarga dan juga di warung teh tarik. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment