My Add

Monday 9 April 2012

Hapus PTPTN, sikap tidak bertanggungjawab pembangkang


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan sebahagian warga pendidikan selepas berucap pada Dialog Nasional Pendidikan Negara - Perhimpunan Umum Bersama Kepimpinan Kementerian Pelajaran Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini. - Foto Rosdan Wahid

Bercakap memang mudah sebab dia bukan kerajaan: Muhyiddin

BANGI, ISNIN, 09 April, 2012: Cadangan pembangkang mahu menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) sekiranya memenangi pilihan raya umum akan datang mempamerkan sikap tidak bertanggungjawab pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata, cadangan itu sekiranya dilaksanakan akan hanya menimbulkan masalah besar kepada orang ramai untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka.

"Bercakap memang mudah sebab dia (Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim) bukan kerajaan dan tidak mempunyai rasa tanggungjawab.

"Mereka yang berhutang dengan PTPTN mungkin suka, tapi ini akan menyebabkan masalah besar...jangan fikir keuntungan jangka pendek sahaja," katanya di sini, hari ini. 

Beliau menegaskan, sedangkan janji yang diberikan pembangkang ketika pilihan raya lalu pun masih banyak belum ditunaikan. 

Mengulas kenyataan Anwar dalam satu laporan portal bahawa beliau yakin Barisan Nasional (BN) tidak akan berjaya merampas semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata, apa yang penting ialah apa pendapat rakyat mengenai pentadbiran pakatan pembangkang di negeri itu. 

"Apa yang mustahak sekarang ialah apa rakyat di Selangor fikirkan, apa yang mereka fikirkan mengenai kerajaan negeri sedia ada, adakah mereka berpuas hati," katanya.

Muhyiddin berkata, BN sedar akan berdepan cabaran besar di Selangor pada pilihan raya umum akan datang kerana sudah pasti pakatan pembangkang tidak akan mudah menyerah kalah. 

Beliau berkata, BN tahu yang dimahukan oleh rakyat Selangor dan menurutnya mereka adalah pemilih yang dipentingkan oleh BN. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment