Hari ini adalah hari terakhir persidangan Dewan Rakyat pada sesi kali ini.
"Tidak, tidak sekali-kali, tidak wujud keadaan nak "redah semua sekaligus". Semua anggota Parlimen diberi notis (pada 16 April) mengenai semua rang undang-undang dalam Aturan Urusan Mesyuarat. Bagaimana pula kata ia "diredah sekali gus".
"Mereka tidak boleh kata tidak tahu mengenainya, kita beri notis kepada mereka lebih awal," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Liew diminta mengulas rungutan anggota Parlimen pembangkang bahawa masa tidak mencukupi untuk membahaskan kesemua lapan rang undang-undang di peringkat dasar dan jawatankuasa hari ini.
Mereka juga mengadu yang mereka tidak diberi notis lebih awal untuk membahaskan kesemua rang undang-undang berkenaan hari ini.
Antara rang undang-undang yang ditetapkan dibahaskan dalam sidang dewan hari ini ialah Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2011, Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012.
Liew mengingatkan anggota Parlimen supaya tidak membuang masa membahaskan isu yang tidak berkaitan di Dewan Rakyat, selain daripada rang undang-undang yang dibentangkan.
"Mereka seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak menghabiskan masa bercakap mengenai isu lain. Dan mereka sudahpun membuang banyak masa berharga bercakap perkara-perkara lain yang tiada kena-mengena dengan rang undang-undang pada sesi perbahasan.
"Janganlah anggap Parlimen sebagai tempat di mana anda boleh bercakap mengenai semua perkara, apa sahaja yang dimahukan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment