My Add

Thursday 19 April 2012

Mahkamah khas bicara pesalah keselamatan

Abdul Gani Patail.
            

SHAH ALAM, RABU, 18 April, 2012: Suspek yang ditahan selepas Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dikuatkuasakan akan didakwa dan dibicarakan di mahkamah khas, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail. 

Beliau berkata, prosiding itu akan dikendalikan oleh hakim Mahkamah Tinggi dengan keutamaan diberi kepada keperluan untuk menyegerakan proses perbicaraan.

"Kita sepatutnya mempunyai orang yang berpengalaman dan hakim-hakim yang ditugaskan untuk (kes) ini. Tindakan segera ialah saya perlukan hakim yang arif dengan perkara ini... untuk mendengar kes dengan seberapa cepat yang boleh demi kepentingan keadilan," katanya ketika memberi syarahan di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Beliau menjelaskan tidak perlu ada lagi sebarang penangguhan untuk mendengar kes dan suspek tidak seharusnya ditahan reman dalam tempoh yang terlalu lama, katanya.

Abdul Gani menarik perhatian hadirin dengan menyatakan orang ramai mungkin berpandangan bahawa hakim yang ditugaskan untuk mengendalikan kes di mahkamah khas ini sebagai lebih berpengalaman dan bebas.

Dewan Rakyat semalam meluluskan rang undang-undang itu yang bertujuan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, tanpa sebarang pindaan.

Antara lain, berbanding dengan keadaan apabila seseorang individu itu boleh ditahan tanpa perbicaraan sehingga dua tahun atas arahan Menteri Dalam Negeri di bawah ISA sebelum ini, undang-undang baru ini memperuntukkan penahanan maksimum 28 hari bagi tujuan penyiasatan.

Abdul Gani berkata, dalam merangka undang-undang baru itu, keseimbangan perlu diwujudkan antara menangani keperluan keselamatan serta menghormati asas hak asasi manusia.

Dalam hubungan ini, beliau berkata sebuah jawatankuasa pentadbiran yang dicadangkan akan memastikan tidak berlaku penyalahgunaan dan akan membuat cadangan untuk menambah baik undang-undang baru ini.

Menyatakan keanggotaan jawatankuasa itu masih lagi belum dimuktamadkan, Abdul Gani berkata beliau telah mengenal pasti presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee dan Presiden Suhakam Tan Sri Hasmy Agam serta seorang bekas Ketua Hakim Negara sebagai bakal anggota.

"Saya telah mengemukakan semua nama ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta saya melihat perkara ini. Bilangan anggota jawatankuasa tidak penting tetapi mereka haruslah orang yang tahu dan memahami (tanggungjawab mereka)," katanya.

Abdul Gani berkata, undang-undang baru itu akan menukar landskap perundangan negara dan sokongan orang ramai diperlukan untuk memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik.

"Kita perlu mendapatkan sokongan orang ramai berhubung undang-undang ini, jika kita tidak mendapat sokongan untuk mencegah pengintipan, keganasan, sabotaj dan sebagainya, kita tidak akan dapat melaksanakannya," katanya.

Peguam Negara berkata undang-undang boleh dibuat dan diubah hasil tindakan rakyat, dan kerajaan harus sensitif kepada tindakan itu.

"Pada akhirnya, undang-undang tetap ada untuk berkhidmat kepada anda," kata Abdul Gani yang juga merupakan Profesor Adjung fakulti berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment