My Add

Tuesday 3 April 2012

Malaysia negara paling selamat di Asia Tenggara

KANGAR, SELASA, 03 April, 2012: Malaysia adalah negara paling selamat di rantau Asia Tenggara dan ia membuktikan kebijaksanaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Katanya, negara ini yang rakyatnya berbilang kaum akan terus berada dalam keadaan aman jika mandat terus diberikan kepada BN mentadbir negara ini.

Berucap pada majlis "Apresiasi Tiga Tahun Transformasi" sempena ulang tahun pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, beliau berkata BN adalah sebuah parti yang membuktikan keupayaannya dalam pentadbiran dan sebuah parti yang mengotakan janji demi kesejahteraan rakyat.

Ketua Penerangan UMNO itu berkata, BN bukan seperti parti pembangkang yang menabur janjinya tetapi tidak berupaya mengotakan banyak perkara yang djanjikan.

Berharap rakyat tidak memperjudikan masa depan negara, Ahmad berkata pada masa ini kerajaan pimpinan BN berjaya mengurangkan kadar jenayah dan rasuah manakala taraf hidup rakyat ditingkatkan dengan pengurangan kos sara hidup.

Ahmad yang membentangkan pencapaian Najib selama menjadi Perdana Menteri Malaysia, berkata rakyat di negeri yang dikuasai pembangkang mula merasakan bahawa mereka ditipu apabila ada janji yang tidak dikotakan. 

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, semasa merasmikan majlis itu berkata harga keamanan negara ini sudah dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk kewangan.

Katanya, jika negara ini berkrisis dan wujud keganasan sudah pasti rakyat tidak berpeluang menikmati kemakmuran kerana kerajaan perlu berbelanja besar bagi menguruskan krisis dan keganasan itu.

Pelbagai acara diadakan sempena majlis anjuran kerajaan negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Perlis dan Komuniti 1Malaysia Perlis, termasuk karnival Komuniti 1Malaysia yang berlangsung di Dewan 2020 sejak semalam.

Acara lain ialah pentarama, pertandingan memasak bubur lambuk, pertandingan pameran kenderaan, pertandingan gerai tercantik dan pertandingan teka-teki selain penyampaian netbook 1Malaysia kepada pengerusi Komuniti 1Malaysia oleh Menteri Besar dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment