My Add

Wednesday, 4 April 2012

MPM sokong titah Raja Nazrin

KUALA LUMPUR, RABU, 04 April, 2012: Sebanyak 164 pertubuhan bukan kerajaan di bawah Majlis Perundingan Melayu (MPM) berdiri teguh di belakang Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah yang kecewa ada kalangan bukan Islam semakin lantang mencabar perkara berkaitan Islam.

Pengerusi biro politik dan governan MPM, Datuk Seri Dr Hilmi Ismail, berkata perkara itu memang berlaku dan terdapat orang bukan Islam yang berbuat demikian.

"Kita nak ingatkan...orang Islam tidak pernah nak mempersoal agama lain di dalam negara ini, Islam tak pernah mencaci agama lain. Kenapa akhir-akhir ini Islam dihina dan di pandang sinis?

"Dalam situasi ini, ada pula parti politik yang ramai kalangan anggotanya orang Islam, membenarkan parti mereka digunakan sebagai platform untuk orang bukan Islam mempersendakan ayat al-Quran dan hadis," katanya di sini hari ini.

Semalam, semasa merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh, Raja Nazrin Shah meluahkan kekecewaannya kerana garis sempadan menyentuh agama Islam mula dilanggar, malah ada kalangan bukan Islam semakin lantang mencabar perkara berkaitan Islam melalui ungkapan dan kenyataan bernada mempersendakan syariat dan memperkecilkan akidah umat Islam.

Baginda mahu supaya perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan dan terbuka ini dihentikan dan dicegah secara tegas kerana ia boleh mencetuskan tragedi buruk dalam negara.

Hilmi yang juga Pengerusi Gagasan Melayu Perak, berkata titah Raja Nazrin itu perlu diberi perhatian serius terutamanya oleh parti politik Islam dan jangan ada yang memandang remeh mengenainya. 

"Saya berikrar akan berada di belakang Tuanku Pemangku Raja Perak untuk mempertahankan Islam dan Melayu dan Raja-raja Melayu. Kita bersedia menentang apa juga rintangan yang cuba menjadi penghalang dan membuat kekecohan mengenai perkara ini," katanya.

Hilmi berkata, kedudukan Islam sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak perlu diganggu gugat lagi.

Katanya, perbuatan merendah-rendah martabat Islam perlu dihentikan serta merta bagi mengelak negara ini menjadi porak peranda. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment