My Add

Sunday, 8 April 2012

Nenek terharu terima bantuan baiki bumbung rumah

BALIK PULAU, AHAD, 08 April, 2012: Keperitan hidup seorang nenek yang berhadapan dengan masalah bumbung bocor sejak beberapa bulan lalu mendapat pembelaan Kerajaan Pusat apabila atap kediamannya di Kampung Sungai Pinang di sini diganti dengan yang baru. 

Saddiah Abu, 70, berkata beliau begitu terharu apabila bantuan bernilai RM3,000 itu diterima tidak sampai sebulan selepas borang permohonan diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Pulau Pinang melalui jawatankuasa kemajuan kampung.

"Dulu atap rumah tidak rosak begitu teruk tetapi baru-baru ini semakin banyak bahagian yang telah tiris. Kalau hujan memang becak seluruh rumah hingga terpaksa tadah dengan baldi," katanya ketika ditemui pemberita dalam program Jasa Prihatin anjuran JASA di sini, hari ini.

Beliau yang tinggal bersama cucunya, Mohd Nizam Ahmad Basrah, 24, berkata akibat kesempitan hidup, bumbung rumahnya tidak pernah berganti sejak 25 tahun lalu. 

"Anak-anak lain memang ada, tetapi mereka juga hidup susah. Pendapatan cucu sebagai operator pengeluaran hanya cukup menampung keperluan asas kami berdua sahaja," katanya. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Jasa negeri, Ahmad Amirulzamil Masri berkata bagi kawasan Parlimen Balik Pulau, JASA mempertimbangkan dua rumah lagi untuk dibaiki. 

"Kita akan selesaikan urusan membaiki rumah mereka yang berkenaan sebelum akhir bulan ini," katanya.

Beliau berkata, dalam program sepanjang tahun itu, JASA turut menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai, hamper dan sumbangan makanan kepada mereka yang memerlukan. 

Turut hadir pada program hari ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment