My Add

Monday 9 April 2012

Pemandu didakwa pecah amanah barangan coklat RM45,000

SHAH ALAM, ISNIN, 09 April, 2012: Seorang pemandu sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah iaitu tidak menghantar dan menyerahkan barangan coklat bernilai RM45,000 kepada pelanggan, pada Disember tahun lalu. 

Mohd Herman Abdul Latib, 28, dari Sungai Buloh dekat sini, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Litt Tatt Enterprise Sdn Bhd, No 9, Jalan Laksamana 1A/KS7, Taman Sentosa, Klang dekat sini, kira-kira jam 11.50 malam pada 13 Disember tahun lalu.

Mohd Herman yang ditangkap pada 3 April lalu, didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

Hakim Aslam membenarkannya dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei depan untuk sebutan semula kes. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma Nadiah Abdul Rahman, sementara Mohd Herman diwakili peguam Mohd Jamil Yacob. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment