My Add

Thursday 19 April 2012

PM umum 42 peluang perniagaan inovatif

DATUK Seri Najib Razak beramah mesra selepas mengumumkan 42 peluang perniagaan inovatif yang ditawarkan secara tender terbuka kepada komuniti perniagaan dan pelabur Malaysia, hari ini. Sebelum itu beliau mempengerusikan Mesyuarat Keempat Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia (AIM) di Bangunan Perdana Putra, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, KHAMIS, 19 April, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan 42 peluang perniagaan inovatif (IBO) yang ditawarkan secara Tender Terbuka kepada komuniti perniagaan dan pelabur Malaysia. 

Beliau berkata, semua 42 peluang yang diperkenalkan selaras dengan hasrat kerajaan memperkasa proses inovasi dalam negara itu berpotensi menjana pendapatan RM1 bilion dalam tempoh masa tertentu.

Perdana Menteri berkata, iklan mengenainya akan dimuatkan dalam semua akhbar utama pelbagai bahasa esok, dan segala maklumat juga boleh diperoleh menerusi laman web korporat Agensi Inovasi Malaysia (AIM).

"Ia adalah peringkat permulaan, selepas ini Khazanah Hak Intelek Malaysia (KHIM) akan memperluaskan lagi peluang-peluang inovasi ini, dan akan jadi pusat sehenti untuk syarikat-syarikat perniagaan mencari peluang inovasi," katanya. 

"Melalui cara ini syarikat-syarikat swasta kecil dan besar akan dapat peluang untuk mempelbagai perniagaan mereka dan juga untuk mereka mendahului pesaing-pesaing mereka," kata Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ke-empat Majlis Tadbir Urus AIM di bangunan Perdana Putra di sini. 

Perdana Menteri berkata, beliau berharap syarikat-syarikat perniagaan akan meneliti 42 pelung yang dikumpul oleh pihak universiti tempatan dan juga pusat-pusat penyelidikan dalam negara itu, yang pada pendapat AIM mempunyai potensi besar untuk dikomersilkan, menjana pendapatan serta kekayaan untuk mereka yang terbabit, dan negara keseluruhannya. 

Menjawab soalan mengenai sokongan kepada syarikat-syarikat yang terlibat, Najib berkata syarikat berkenaan boleh dipertimbangkan untuk mendapat sokongan dari segi pinjaman dan insentif tertentu, namun ia masih tertakluk kepada merit setiap kes. 

Beliau berkata, syarikat yang berminat diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan cadangan kepada AIM, dan keputusan muktamad akan dibuat oleh Majlis Tadbir Urus AIM. 

AIM adalah badan berkanun, ditubuhkan oleh Parlimen pada 2010 untuk memacu aktiviti dan inisiatif inovasi dalam negara, manakala Majlis Tadbir Urus itu merupakan badan pengurusan yang bertanggungjawab memberi nasihat serta panduan kepada AIM, di mana 17 anggotanya terdiri daripada menteri-menteri kabinet dan pemimpin industri. 

Antara 42 IBO yang ditawarkan termasuk pengesan bio yang berupaya mengenal pasti jangkitan kuman, racun makhluk perosak berasaskan bio dan juga periuk nasi yang dapat membuang kandungan kanji daripada beras biasa. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment