My Add

Sunday, 8 April 2012

Presiden FAM tidak setuju timbalannya jadi orang tengah

PEKAN, AHAD, 08 April, 2012: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah, tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, untuk menjadi perantara dalam krisis penggantungan Tan Sri Annuar Musa selama dua tahun enam bulan. 

Sultan Ahmad yang juga Sultan Pahang bertitah sebagai Presiden FAM baginda perlu menyokong hukuman yang sudah dijatuhkan terhadap Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM kerana ia tertakluk kepada perlembagaan FAM.

"Saya sudah bersetuju dengan hukuman yang dijatuhkan terhadap Annuar, kemudian mahu sokong pula cadangan (Tengku Abdullah) nak jadi orang tengah, ini tidak betul.

"Saya mesti sokong hukuman terhadap Tan Sri Annuar Musa dan persatuan bola sepak saya. Saya merupakan Presiden, peraturannya ada, jadi Annuar kena tunggu. Bukan Annuar seorang, sebelum ini ada orang lain lagi yang kena (tindakan)," titah baginda kepada pemberita pada majlis perasmian Program Penghijauan Pahang di Pulau Beram di sini hari ini. 

Tengku Abdullah dalam satu kenyataan semalam memberi reaksi dengan nasib Annuar selepas didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik skuad bola sepak negara. 

Sultan Ahmad Shah turut menasihati supaya pihak yang berkenaan tidak terlalu bebas meluahkan pandangan tetapi bertindak mengikut perlembagaan. 

"Kita merdeka, tapi kena ikut perlembagaan. Saya sendiri tak berani cakap, kalau kita tidak ikut (perlembagaan), siapa lagi. Orang luar, tentu tidak," tegas baginda. 
Baginda juga menafikan dakwaan Annuar kononnya diminta oleh FAM menerusi e-mel untuk membayar kos perbelanjaan mesyuarat jawatankuasa tersebut yang bersidang 4 April lalu. 

"Itu bidaah (tidak betul). Kena bayar untuk apa sedangkan mesyuarat diadakan di FAM. Saya akan hubungi Setiausaha Agung untuk pastikan betul atau tidak perkara ini," titah baginda. 

Pada program berkenaan, baginda dan anakanda baginda Tengku Fahd turut menanam sepohon pokok gaharu sebagai tanda menyokong usaha menghijaukan persekitaran negeri ini. 

Baginda turut mengurniakan watikah Program Inisiatif Temenggong: Projek Kebersihan dan Pembangunan Komuniti Desa kepada renjer yang akan terbabit dalam program penanaman pokok dan membersihkan persekitaran yang akan diperluaskan ke seluruh negeri Pahang dalam masa tiga tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment