My Add

Sunday, 22 April 2012

RM8.5 juta untuk projek pembangunan di Nibong Tebal


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) bersalaman dengan anggota BN pada majlis pelancaran Jentera Pilihanraya Umum Peringkat Daerah Mengundi Pulau Pinang di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal, sempena lawatan sehari Perdana Menteri di Pulau Pinang, hari ini. - Foto Danial Saad

NIBONG TEBAL, AHAD, 22 April, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM8.5 juta untuk projek pembangunan di kawasan Parlimen Nibong Tebal demi memastikan keselesaan dan kemudahan untuk penduduk di kawasan itu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan buat yang terbaik untuk membantu dan memberi kemudahan kepada rakyat.

"Rakyat mesti kita bela, mesti kita dahulukan,” katanya dalam ucapan pada majlis jamuan rakyat 1Malaysia di Kampung Simpang Tiga, Sungai Acheh di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 20,000 orang.

Peruntukan itu bagi pembinaan sebuah dewan orang ramai bernilai RM3 juta, mengecat semula pangsapuri (RM2 juta), membaik pulih rumah di perkampungan kaum India dan perkampungan Cina (RM2 juta) dan membina semula Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al-Amin (RM1.5 juta).

Najib berkata, BN merupakan sebuah parti yang konsisten dalam perjuangan dan membela rakyat bagi memastikan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat hidup selesa dan harmoni.

"Kerajaan BN adalah kerajaan yang konsisten, saya tidak kata kita sempurna dalam segala-galanya, kita juga ada kelemahan tetapi kecil, bagaimanapun jasa kita sejak dulu lagi terlalu banyak membawa kepada perubahan kepada landskap setiap keluarga di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata dasar dan prinsip perjuangan BN adalah berlaku adil terhadap semua kaum. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment