My Add

Monday 9 April 2012

Saya tidak berdendam dengan sesiapa: Tun Mahathir

PUTRAJAYA, ISNIN, 09 April, 2012: Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berdendam dengan sesiapa, termasuk bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu. 

Dalam respons segera terhadap pendedahan dalam temu bual bekas pemimpin MIC itu yang tersiar dalam akhbar New Sunday Times semalam, Dr Mahathir berkata, beliau "amat sedih" apabila Samy Vellu terus-menerus mengenepikan pemimpin berkebolehan seperti bekas presiden MIC, Datuk S Subramaniam dan mendiang Tan Sri M G Pandithan yang memiliki "potensi untuk menjadi penggantinya (Samy Vellu)."

Dr Mahathir juga menyangkal dakwaan bahawa beliau mempunyai peranan dalam kekalahan mengejut Samy Vellu bagi kerusi parlimen Sungai Siput pada pilihan raya umum 2008.

"Pada 2008, bukan Samy saja yang kalah, tapi ramai orang (lain lagi) kalah (pada pilihan raya itu)," katanya sambil menambah bahawa "ia bukan kerana saya, tapi menyebut kepimpinan pengganti beliau Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai penyebab prestasi teruk Barisan Nasional pada pilihan raya umum itu. 

"Saya tidak memberitahu orang Sungai Siput supaya jangan mengundi Samy, tapi kritikan saya terhadap kepimpinan Pak Lah (Abdullah) memberi kesan terhadap pemikiran pemilih dan sebab itulah mereka tidak menyokong Barisan Nasional dan ini sudah tentulah termasuk Samy juga. 

"Itulah keadaan sebenarnya. Bukan soal dendam. Ia adalah persoalan berkaitan kekuatan BN serta parti komponennya," katanya di sini, hari ini. 

Samy Vellu mendakwa Dr Mahathir menyimpan dendam terhadapnya kerana hanya beliau (Samy Vellu) yang mengundi membantah penyertaan Barisan Progresif India (IPF) dalam BN.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa cadangan membawa masuk mendiang Pandithan dan IPF ke dalam BN bertujuan menguatkan sokongan masyarakat India terhadap BN, tetapi Samy Vellu menentangnya. 

"Kami perlu mendapatkan persetujuan penuh dalam BN sebelum kami boleh menerima mana-mana parti baru. Oleh itu, tidak banyak yang boleh saya lakukan mengenainya. Akibatnya, saya rasa, MIC menjadi semakin lemah," katanya. 

Ditanya tentang kesan penyingkiran pemimpin yang mempunyai kaliber tertentu dan pengikut dalam sesebuah parti politik, Dr Mahathir berkata, ia hanya membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kerana orang ini selalunya meninggalkan parti bersama pengikut masing-masing. 

"Setiap kali beliau (Samy Vellu) melihat seseorang yang mempunyai potensi, beliau memastikan mereka diketepikan. Apabila pemimpin itu disingkirkan, bukan orang itu saja yang akan keluar, tapi dia juga membawa keluar penyokongnya sekali dan akibatnya, MIC mengecut," kata beliau. 

Menceritakan pengalamannya, Dr Mahathir berkata, beliau bukan saja menerima pemimpin seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Abdullah yang berkempen menentangnya melalui Semangat 46, malah melantik mereka menjadi menteri. 

"Saya mahu UMNO menjadi kuat dan oleh itu saya perlu menerima mereka dan malah memberi mereka jawatan dalam kerajaan...kalau anda membuang mereka, anda juga membuang pengikut mereka dan ini akan melemahkan parti," katanya. 

Mengulas kedudukan MIC hari ini, Dr Mahathir berkata, parti itu jauh lebih kuat apabila Samy Vellu menyerahkan jawatan presiden kepada penggantinya Datuk Seri G Palanivel, selepas 31 tahun. 

"Ramai yang datang semula. Sesetengah daripada mereka yang tidak gembira dengan Samy, kini masuk semula. Saya harap MIC akan mendapatkan semula kekuatannya pada pilihan raya umum akan datang," kata Dr Mahathir. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment