SEMPORNA, KHAMIS, 19 April, 2012: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya membina beberapa lot kedai di Pulau Bum Bum dekat sini bagi memudahkan penduduk pulau berkenaan berniaga.
Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata, dengan adanya lot kedai dan pekedai runcit, penduduk pulau berkenaan tidak perlu bersusah payah ke tanah besar Semporna untuk mendapatkan barangan keperluan harian.
"Tapak yang sesuai untuk tujuan itu sudah disediakan. Ia menunggu masa saja untuk dimajukan," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Keusahawanan dan Pendidikan Mara, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Shafie juga berkata, kawasan pekan baru di Semporna perlu diwujudkan memandangkan kepesatan pembangunan pekan sedia ada.
Mengenai pembangunan usahawan bumiputera, Shafie meminta kontraktor golongan itu yang diberi lesen kelas F supaya terus berusaha meningkatkan pengetahuan serta kecekapan masing-masing seterusnya meningkatkan kelas lesen sedia ada.
Katanya, pemilik lesen F perlu berbuat demikian bagi membolehkan mereka diberi kontrak lebih besar dan seterusnya berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment