My Add

Thursday 2 August 2012

4 hospital terima sumbangan Aidilfitri

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 02 Ogos, 2012:Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyampaikan sumbangan Aidilfitri sebanyak RM1.33 juta kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM800,000 adalah dalam bentuk wang tunai dan peralatan kesihatan kepada tabung kebajikan hospital-hospital berkenaan manakala selebihnya hamper dan wang raya kepada pesakit.

Jamil Khir yang juga pengerusi MAIWP berkata, untuk tabung kebajikan PPUM, PPUKM dan HKL masing-masing akan menerima RM250,000 manakala Hospital Putrajaya menerima RM50,000.

"Menyediakan perkhidmatan kesihatan adalah suatu tuntutan agama kepada masyarakat, ia fardu kifayah yang perlu disempurnakan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan.

"Sumbangan MAIWP ini diharap dapat membantu usaha ini dan meringankan beban pesakit terutama semasa Aidilfitri,” katanya di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, MAIWP juga memperuntuk RM9.1 juta setiap tahun untuk rawatan hemodialisis kepada pesakit kurang berkemampuan dan sehingga Jun lepas, ia meluluskan 388 permohonan bantuan itu dengan kos lebih RM3.99 juta.

Melalui Skim Bantuan Perubatan bagi pesakit kronik pula, katanya, MAIWP membantu seramai 709 pesakit dengan kos sebanyak RM1.86 juta. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment