My Add

Saturday 4 August 2012

6 dipilih jalani latihan Kejohanan Remaja Dunia

KUALA TERENGGANU, SABTU, 04 Ogos, 2012: Enam pemain muda hoki Terengganu dipilih menjalani latihan bersama pasukan negara dalam persediaan menghadapi Kejohanan Hoki Remaja Dunia di India, November tahun depan.

Setiausaha Persatuan Hoki Lelaki Terengganu (PHLT), Sabri Salleh, berkata mereka dipilih Persatuan Hoki Malaysia (PHM) berdasarkan prestasi memberangsangkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang, bulan lalu.
"Bagi kita, ini satu perkembangan positif walaupun belum tentu lagi mereka terpilih...(mereka) dipanggil untuk latihan sudah cukup bagus," katanya di sini, hari ini.

Enam pemain itu ialah Mohd Fitri Saari, Mohd Firhan Ashaari, Mohd Hafizuddin Othman, Muhammad Shahiran Zali, Mohd Sufi Ismat Md Rohulamin dan Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri (penjaga gol Terengganu).

"Kita harap mereka mampu menyesuaikan diri, bersaing dan seterusnya mampu melayakkan nama mereka dalam senarai PHM mewakili negara pada masa akan datang dan juga di kejohanan remaja dunia itu nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sabri berkata PHLT kini menumpukan kepada program pembangunan untuk membentuk pasukan hoki baru yang mantap bagi menghadapi SUKMA Perlis pada 2014.

Ini berikutan sebahagian besar pemain yang mewakili Terengganu dalam SUKMA ke-15 baru-baru ini, sudah tidak layak lagi mewakili negeri ini kerana melebihi had umur ditetapkan, katanya.

Sabri berkata, PHLT akan mengintai bakat baru menerusi beberapa kejohanan seperti Kejohanan Bawah 16 tahun Kebangsaan selain mengadakan usaha sama bersama Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) untuk mencari pemain berbakat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment