My Add

Tuesday 21 August 2012

Akar umbi sokong Nasharudin Mat Isa


Oleh ZABRY MOHAMAD
KEPALA BATAS. ISNIN, 20 Ogos, 2012: Ahli-ahli akar umbi Pas Pulau Pinang menyatakan sokongan padu terhadap pendirian bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa (gambar) yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kesucian Islam.

Mereka juga bersependapat dengan Ahli Parlimen Bachok tersebut supaya Pas mengkaji semula kedudukannya termasuk keluar daripada pakatan pembangkang dan menjadi parti yang berdiri dengan sendiri.

Mereka turut melahirkan kekecewaan dengan sikap pemimpin tertinggi Pas yang membisu dalam soal penentangan keras DAP terhadap pelaksanaan hukum hudud.

Ketua Pas Cawangan Bagan, Azmi Jaafar berkata, pemimpin parti itu sepatutnya meletakkan kepentingan Islam dan perpaduan ummah melebihi agenda politik sempit mereka.

“Pemimpin atasan Pas dilihat mula menggadai prinsip perjuangan asal demi meraih sokongan politik pada pilihan raya semata-mata.

“Selama ini kami dididik oleh mereka supaya memegang teguh prinsip menegakkan Islam tetapi tiba-tiba mereka jugalah yang menggadai atau menjual prinsip tersebut demi meraih kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang dihadiri oleh sekumpulan ahli Pas Pulau Pinang termasuk yang pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam parti itu di sini Jumaat lalu.

Khamis lalu, sebaik sahaja tiba dari Mekah, Nasharudin mengadakan sidang akhbar khas bagi membalas kenyataan beberapa pemimpin Pas yang mempertikaikan kehadirannya di Tanah Suci bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka juga membidas Nasharudin berikutan kenyataan beliau yang menggesa Pas mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang jika DAP terus menolak pelaksanaan hukum hudud.

Sementara itu, bekas Setiausaha Pas Pulau Pinang, Mohamad Nordin Mohd. Nor berkata, pemimpin DAP terutama Pengerusinya, Karpal Singh secara terang-terangan menunjukkan beliau menentang penubuhan negara Islam.

Justeru, sebagai orang Islam, sudah semestinya menjadi kewajipan untuk ahli Pas menghentikan mana-mana perbuatan menyentuh perasaan dan kesucian agama itu.

“Sekiranya Karpal sanggup menggadai nyawa untuk memastikan sistem perundangan Islam tidak dilaksanakan di negara ini, maka ahli-ahli Pas juga rela berbuat perkara sama demi Islam," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Karpal dan pemimpin DAP lain supaya berhenti menimbulkan perkara sensitif sedemikian bagi mengelakkan keadaan buruk berlaku.

Bagi bekas Setiausaha Pas Kepala Batas, Abdul Halim Abd. Rashid, matlamat utama perjuangan Pas bukannya mahu memerintah Malaysia tetapi hendak mewujudkan keharmonian dalam kalangan semua kaum dengan cara berdakwah.

Beliau memberitahu, pemimpin Pas sepatutnya dapat mengajar erti perpaduan ummah sebenar kepada rakan mereka yang bukan Islam.

Tambahnya, mereka wajar menunjukkan Islam sebagai agama yang telah terbukti berjaya menjaga keharmonian semua kaum di dunia dengan asas-asas perpaduan sesama umat.

“Sebaliknya jika Pas sendiri kini menjadi juara perpecahan umat Islam dengan sikap dwistandard mereka dalam isu perpaduan ummah. Bagaimanakah keharmonian semua kaum dalam negara ini akan terjamin?" ujarnya.

Bekas Timbalan Presiden Pas tidak keseorangan

Sambil itu ZULKIFLEE BAKAR PULA melaporkan seperti mana janji beliau untuk melakukan apa sahaja bagi mempertahankan agama Islam, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menegaskan bersedia berdepan dengan Karpal Singh di mahkamah dalam isu beliau mendakwa Pengerusi DAP itu anti Islam.

Soal siapa betul, siapa salah biarlah mahkamah menentukannya. Apa yang lebih menjadi persoalan ialah pendirian Pas sendiri dalam berhadapan pertembungan antara Nasharudin dan Karpal ini.

Setakat ini, golongan pemimpin Pas yang dianggap daripada kelompok Anwarinas atau digelar sekular, dikatakan tidak menyebelahi Nasharudin, sebaliknya mereka ingin melihat Ahli Parlimen Bachok itu dihukum oleh parti kerana dianggap telah menggugat kerjasama dalam pakatan.

Bagi kelompok ini, mereka hanya mementingkan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, tidak kira apa pun kedua-dua parti itu lakukan terhadap Pas.

Surat pemimpin cawangan Pas kepada Nasharudin
Berikut adalah sedutan petikan surat seorang pimpinan cawangan Pas kepada Nasharudin Mat Isa seperti yang disiarkan di Facebook Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali, Sabtu lalu.
"Assalamualaikum,Ke hadapan yang dihormati YB Ustaz Nasharudin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas yang juga merangkap Ahli Parlimen Bachok, Kelantan. Semoga keadaan ustaz sentiasa sihat dan dirahmati oleh Allah SWT.

Mengenangkan semula perkembangan apa yang berlaku dalam seminggu dua ini, saya terpanggil untuk mengutuskan surat ini kepada ustaz.

Adapun surat ini tidaklah bertujuan apa-apa, hanya untuk memberitahu akan betapa gembiranya hati saya melihat gambar ustaz bersama-sama pemimpin UMNO bertemu dengan para ilmuwan dan cerdik pandai agama dari Arab Saudi, membincangkan tentang permasalahan ummah sejagat." - UTUSAN

No comments:

Post a Comment