My Add

Tuesday 21 August 2012

Lebih 100,000 hadir rumah terbuka PM

Najib, Muhyiddin dan Dr Mahathir, bersama orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Perdana, kelmarin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor


*Najib, Muhyiddin dan Dr Mahathir, bersama orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Seri Perdana, kelmarin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor


*NAJIB Tun Razak dan Muhyiddin Yassin menghadiri solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

PUTRAJAYA, ISNIN, 20 Ogos, 2012: Lebih 100,000 rakyat pelbagai kaum menyerikan majlis Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2012 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jemaah Menteri yang diadakan di Seri Perdana di sini, semalam.

Menurut THOMAS CHONG walaupun majlis tersebut hanya bermula pada pukul 10 pagi, orang ramai kelihatan tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri seawal pukul 8.30 pagi.

Majlis yang sepatutnya berlangsung sehingga pukul 4 petang itu juga terpaksa dilanjutkan selama 15 minit apabila orang ramai berpusu-pusu masuk untuk bersalam dan mengucapkan selamat hari raya kepada Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut mengunjungi rumah terbuka itu ialah diplomat asing, pemimpin parti-parti politik termasuk daripada pembangkang, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat dan juga pelancong asing.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta menteri-menteri Kabinet turut bersalaman dengan orang ramai yang mengunjungi rumah terbuka itu.
Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Pemenang pingat perak dalam Sukan Olimpik London 2012, Datuk Lee Chong Wei turut menghadiri majlis berkenaan dan orang ramai yang menyedari kehadirannya mengambil peluang untuk bergambar dengan jaguh badminton negara tersebut.

Selain berpeluang menjamu selera dengan pelbagai jenis juadah, orang ramai turut dihadiahkan bungkusan kuih raya daripada Perdana Menteri dan isteri manakala kanak-kanak diberikan duit raya.

Majlis berakhir pada pukul 4.15 petang dan sebaik sahaja orang ramai bersurai, Najib mengambil kesempatan untuk bersalam dan mengucapkan selamat hari raya kepada petugas termasuk anggota polis yang terlibat dalam menjayakan program penuh bermakna tersebut.

Sebelum itu, Najib dan Muhyiddin menyertai umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kuzie Catering, Raja Rosli Raja Mazlan berkata, menu istimewa dalam Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri merupakan nasi beriani 1Malaysia.

''Nasi beriani ini unik kerana ia boleh disajikan dengan rendang, daging kambing atau pun telur mengikut cita rasa pengunjung yang datang," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambahnya, selain menyediakan makanan tradisional Melayu seperti rendang, sate, ketupat dan laksa, menu 1Malaysia yang disediakan turut merangkumi makanan kegemaran kaum Cina dan India iaitu char kuetiau dan tosai.

Katanya, sebanyak 10,000 kilogram beras basmati, 15,000 kilogram daging, 80,000 ketul ayam dan 500,000 cucuk sate diperlukanuntuk menjayakan majlis rumah terbuka itu.

''Seramai 500 kakitangan termasuk 60 tukang masak terlibat dalam menyedia, memasak dan menyajikan makanan," katanya.

                             10,000 beraya bersama TPM di Pagoh

*MUHYIDDIN Yassin bersama Noorainee Abdul Rahman memotong kek sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Pekembar, Pagoh, Muar, Johor, semalam. - Utusan/ Nasirruddin Yazid

Dari Pagoh, MOHAMAD FIKRI ROSLY dan ZULHISHAM ISAHAK melaporkan lebih 10,000 orang penduduk tempatan daripada pelbagai kaum membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Kompleks Seri Pekembar, hari ini.

Kemeriahan Syawal jelas terasa seawal rumah terbuka bermula pada pukul 9 pagi dengan tetamu bersilih ganti memenuhi ruang dewan dan pekarangan Kompleks Seri Pekembar untuk menikmati pelbagai jenis juadah tradisional dan moden sehingga pukul 3 petang.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman; Ahli Dewan Negara, Senator Noriah Mahat; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Mohd. Ta'at; ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan ghazal dan lagu-lagu raya oleh Haziq AF selain mengambil kesempatan untuk bersalaman serta bergambar dengan Muhyiddin dan Noorainee.

Salah seorang daripada mereka, P. Rajappa, 47, berkata, sudah menjadi tradisi penduduk Pagoh untuk berkunjung ke rumah terbuka anjuran Muhyiddin dalam suasana kekeluargaan.

"Salah satu keistimewaan rumah terbuka ini adalah dapat bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat di bawah gagasan 1Malaysia.

"Selain itu, tarikan juadah seperti nasi beriani, ayam goreng dan cendol," katanya.

Bagi Johan Ghani, 48, dari Lenga, sanggup menempuh kesesakan jalan raya dari pekan Pagoh ke Kompleks Seri Pekembar untuk hadir.

Dia yang datang bersama keluarga berkata, antara sebab yang mendorong kedatangannya adalah peluang bertemu empat mata dengan Muhyiddin sendiri yang disifatkan sebagai tidak sombong untuk beramah mesra dengan orang ramai.

Gwee Cheng Hout, 45, dari Muar pula dalam rombongan 20 orang yang menaiki tiga buah kereta melibatkan jiran-jiran di kediamannya.

"Perpaduan jelas terpapar dalam rumah terbuka seperti ini kerana semua bangsa datang beramai-ramai," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment