My Add

Saturday 25 August 2012

ATM teruskan Ops Merpati walaupun sempadan terkawal

KOTA BHARU, SABTU, 25 Ogos, 2012: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meneruskan Ops Merpati bagi mengawal kawasan sempadan Kelantan-Thailand meskipun keadaan keselamatan didapati terkawal.

Panglima Lapan Briged Infantri, Brig Jen Datuk Mohd Zaki Hamzah berkata, ini kerana tidak ada petunjuk yang membolehkan tentera menghentikan operasi itu yang dilancar pada 1992. 

"Pada masa ini, kawasan sempadan itu dikawal satu batalion dengan 500 anggota yang turut melakukan rondaan bersama dengan pasukan keselamatan negara jiran berkenaan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di kediamannya, di sini malam tadi.

Antara tetamu yang hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, tidak banyak kes yang mengancam keselamatan seperti penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin dikesan pada musim perayaan kali ini berbanding tahun sebelumnya.

"Terdapat hanya satu kes rampasan penyeludupan mercun dikesan anggota kami di sempadan seminggu sebelum hari raya tetapi tiada tangkapan dilakukan," katanya.

Mohd Zaki berkata, pihaknya mendapat kerjasama yang baik daripada anggota pasukan keselamatan Thailand. 

"Gerakan rondaan itu lebih tertumpu kepada kemasukan pendatang tanpa izin, penyeludupan dan kegiatan jenayah lain," katanya.

Kawasan sempadan itu turut dikawal Polis Diraja Malaysia menerusi Ops Wawasan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment