My Add

Saturday 25 August 2012

FINAS bantu perkukuh kewangan industri filem tempatan

KUALA LUMPUR, SABTU, 25 Ogos, 2012: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan melaksanakan beberapa inisiatif untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan industri filem tempatan serta membantu penerbit tempatan meluaskan pasaran mereka, kata Ketua Pengarahnya, Naguib Razak.

Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata, antara inisiatif yang akan dilaksana dalam masa terdekat ialah perbincangan meja bulat industri kreatif di Malaysia pada 20 September ini, dengan memberi fokus terhadap penerbitan filem bersama International Investor, sebuah firma penyelidikan antarabangsa yang menyediakan maklumat berkaitan perniagaan di negara ini.

Katanya, setakat ini, perbincangan yang bakal diadakan itu menarik minat beberapa personaliti tempatan dan antarabangsa yang terkenal dalam bidang pembiayaan dan penerbitan filem untuk berbincang tentang cara memajukan industri filem di Malaysia.

Antara yang diundang ialah Datuk Mohd Sharil Tarmizi, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM); Datuk Amrin Amwaluddin, Pengarah Urusan, Media Prima; Norman Halim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRU Studios; Low Huoi Seong, CEO Vision New Media; May Quah, Pelaburan, Khazanah Nasional; Mike Lake, CEO Pinewood Studios; Keiko Hagihara Bang, CEO Bang Productions; Pieter Aquilia, Dekan Bersekutu, Tisch Asia; dan Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Pengarah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri (Pemandu).

Naguib berkata, pembiayaan merupakan isu yang amat penting dalam penerbitan filem dan memandangkan industri filem tempatan kini mencatat pencapaian kukuh dari segi pendapatan dan penembusan pasaran, kini tiba masanya tumpuan serius diberi terhadap usaha meraih lebih banyak peluang serta mencari jalan untuk memastikan industri ini dapat diurus dengan lebih mantap. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment