My Add

Friday 24 August 2012

Bot karam: Tiga nelayan tempatan diselamatkan

LANGKAWI, JUMAAT, 24 Ogos, 2012: Tiga nelayan tempatan dari Kuala Kedah diselamatkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) apabila bot yang mereka naiki tenggelam di perairan Pulau Segantang di sini.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata, ketiga-tiga mangsa ditemui 5.5 batu nautika dari selatan Pulau Paya kira-kira 2.55 petang tadi.

Ketiga-tiga mangsa iaitu Abu Saman Awang, 48, Mohd Shamizi Adnan, 29, dan Sollahudin Said, 20, yang memakai jaket keselamatan berjaya diselamatkan selepas ditemui terapung.

"Mereka dibawa ke jeti Perikanan Bukit Malut dan diserahkan kepada pihak Hospital Daerah Langkawi untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Katanya, pihak APMM menerima laporan dari Balai Polis Kuala Kedah yang menyatakan sebuah bot nelayan dari Kuala Kedah disyaki tenggelam di perairan Pulau Segantang pada 9.30 malam tadi.

Beliau berkata, sebaik sahaja menerima laporan itu gerakan mencari dan menyelamat dilakukan, bagaimanapun ia terpaksa dihentikan kerana keadaan laut bergelora dan cuaca buruk.

Menurutnya, gerakan mencari diteruskan pagi ini dengan bantuan bot-bot peronda dan pesawat APMM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment