My Add

Monday 27 August 2012

DAP semakin gusar, takut kepada kekalahan

KUALA LUMPUR, AHAD, 26 Ogos, 2012: DAP dilihat semakin gusar dan takut kepada kekalahan kerana mahu membentangkan undang-undang antilompat parti November ini.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, perbuatan tersebut sebenarnya akan menyekat sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Jelasnya, ini bertentangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan seperti mana yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya sendiri menentang dengan keras perbuatan melompat parti ini, ia salah dari segi moral tetapi bukan undang-undang. DAP mungkin takut akan kalah andai ada pemimpinnya lompat, terus mahu cuba kuat kuasa akta tersebut.

"DAP mempunyai sejarah hitam beberapa tahun lepas apabila salah seorang wakil rakyat bertindak melompat parti dan menyebabkan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah di Perak, mungkin ini buat mereka lebih berhati-hati," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan tindakan DAP Pulau Pinang mahu membentangkan undang-undang antilompat parti sebagai satu bentuk penyekatan kebebasan seseorang individu.

Menurut Tunku Aziz, DAP hanya boleh bercakap dan berharap dapat menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam Perlembagaan kerana ia adalah perkara mustahil.

"Mereka boleh merayu di mahkamah atau memujuk pemimpinnya dengan mengatakan perbuatan itu adalah salah dari segi moral, tetapi untuk cuba menggubal undang-undang itu adalah perbuatan sia-sia.

'Perlembagaan kita menyatakan parti politik tidak berhak untuk mengenakan sebarang akta atau undang-undang yang boleh menyekat untuk masuk atau keluar parti seperti mana yang sedang cuba dilakukan oleh DAP," tegasnya.

Beliau juga percaya pemimpin yang keluar parti disebabkan tidak berpuas hati dengan perjuangan parti masing-masing dan bukannya disogok atau dibeli.

"Setiap rakyat di negara ini harus diberikan kebebasan untuk melakukan apa yang dirasakannya betul seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dengan mengenakan sekatan tertentu, ia seperti menarik hak seseorang individu itu," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment