KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Ogos, 2012 Peguam Negara didesak mengambil tindakan terhadap peguam, M Puravelan dan wakil rakyat PKR, R Sivarasa jika mereka enggan memberi penjelasan berhubung komplot untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kasim, berkata jika benar komplot itu seperti didedahkan pengendali blog, Raja Petra Kamaruddin, ia sangat serius dan memerlukan tindakan sewajarnya.
Katanya, sebagai sebuah negara yang berdaulat dan berdemokrasi, sewajarnya mereka yang disabitkan terbabit diheret ke muka pengadilan bagi mencari kebenaran.
Kita juga mahu tahu siapakah yang mengetuai komplot itu. Selain itu, kita juga ingin bertanya apakah peranan Puravalen.
Saya turut mencabar Puravalen tampil mengemukakan bukti dan mengisytiharkan siapa menyampaikan maklumat polis kepadanya berhubung penahanan Abdul Razak Baginda pada Oktober 2006, katanya.
Sementara, Sivarasa ketika dihubungi berkata, beliau sudah mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu dan menafikan tuduhan Raja Petra terhadapnya.
Beliau berkata, dakwaan pengendali laman blog itu adalah satu pembohongan selain cubaan untuk memburukkan imejnya, Puravalen dan penyiasat persendirian P Balasubramaniam.
Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang turut menafikan dakwaan Raja Petra berhubung Balasubramaniam yang dikatakan menerima habuan RM20,000 sebulan daripada hartawan China.
Katanya, tidak ada mana-mana individu termasuk dirinya sendiri menawarkan habuan kepada penyiasat persendirian itu untuk membuat akuan bersumpah (SD) yang pertama.
Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan komen Puravalen tidak berjaya. - BH
No comments:
Post a Comment