My Add

Wednesday 22 August 2012

Karpal boleh buat Pas hilang undi

Oleh Haspaizi Mohd Zain
KUALA LUMPUR, SELASA, 21 Ogos, 2012: Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan cadangan pelaksanaan Hukum Hudud diperjuangkan Pas boleh menjejaskan undi Melayu kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP), Nik Mohamad Abduh, berkata tindakan Karpal itu memberi gambaran kepada orang ramai terutama umat Islam bahawa DAP tidak mesra Islam serta orang Melayu.

Nik Mohamad, yang juga anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, tindakan pemimpin DAP itu yang mempertikaikan keupayaan syariat Islam (Hukum Hudud) untuk menjamin keselamatan dan keadilan rakyat adalah bercanggah dengan pendirian dipersetujui dalam pakatan pembangkang.

Dari sudut sentimen, kelihatan Karpal Singh, melalui beberapa kenyataan terakhirnya, terlalu yakin DAP tidak memerlukan undi Melayu untuk menang selesa. Sama ada itu satu risiko yang boleh diserap oleh DAP atau tidak, tapi bagi saya hampir pasti boleh menjejaskan undi rakannya dalam Pakatan terutama Pas.

Walaupun berhak atas nama hak bersuara untuk bercakap dan mengkritik, tetapi atas nama hak kesepakatan bersama pakatan juga perlu untuk tidak memanaskan isu yang 'setuju untuk tidak bersetuju', termasuk perihal dasar perjuangan setiap parti.

Sama ada kritikan beliau itu atas premis mempertahan sekularisme negara ataupun jahil mahupun keras pedal atau anti Islam, semua itu mendorong kepada andaian bahawa DAP tidak mesra agama Islam dan undi Melayu, katanya dalam laman sosial facebooknya, di sini.

Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa mempertahankan pendiriannya bahawa Karpal adalah pemimpin DAP yang anti Islam dan sedia berdepan pemimpin veteran pembangkang di mahkamah.

Menjawab kritikan Nasharuddin, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang, menyifatkan Hukum Hudud sukar untuk dilaksanakan di negara ini terutama dalam menjamin keselamatan dan keadilan rakyat. - BH

No comments:

Post a Comment