My Add

Monday 27 August 2012

Empat siswa mulakan kayuhan sempena merdeka

TAWAU, ISNIN, 27 Ogos, 2012: Empat pelajar beberapa buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hari ini memulakan kayuhan berbasikal bagi perjalanan sejauh 2,205 kilometer sempena sambutan kemerdekaan negara ke-55 tahun ini.

Pelajar berkenaan ialah Muhammad Frydaus Asry Jeffery dari Politeknik Kuching, Sarawak, Tan Al-Affiq Tan Smilly (Politeknik Mukah, Sarawak), Wan Farhan Wan Jusoh (Universiti Teknikal Melaka) dan Nur Syafiqah Wawi (Politeknik Kota Baharu, Kelantan).

Majlis pelepasan peserta program Cabaran Berbasikal Merdeka 1Malaysia Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang turut disertai dua pegawai itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Program cetusan ilham Politeknik Kuching, Sarawak itu antara lain bagi memperkukuh semangat kemerdekaan di kalangan masyarakat, khususnya belia dan pelajar IPT, mempromosi pendidikan di IPT kepada komuniti di Sabah dan Sarawak serta memperkukuh keperlbagaian budaya dalam konsep 1Malaysia.

Perjalanan selama 20 hari yang akan berakhir di Melaka pada 21 September itu akan melalui beberapa pekan dan bandar utama di Sabah seperti Lahad Datu, Sandakan, Pitas, Kudat, Kota Belud, Kota Kinabalu dan Beaufort dengan jarak kayuhan sejauh 1,200 kilometer.

Peserta juga akan melalui beberapa pekan dan bandar utama di Sarawak seperti Lawas, Limbang, Miri, Bintulu, Selanggau, Sarikei, Betong, Serian dan Sematan sebelum mengambil penerbangan ke Melaka.

Sementara itu, Tawfiq menyifatkan program berkenaan sebagai satu jelmaan semangat petriotisme dan penghargaan kemerdekaan oleh anak-anak muda terutama pelajar IPTA melalui pengorbanan kayuhan yang pasti menempuh pelbagai cabaran.

"Begitulah perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu kita yang dalam usaha mereka merealisasikan perjuangan kemerdekaan juga menempuh pelbagai cabaran.

Mudah-mudahan dengan adanya program ini akan membuka mata semua pihak terutama generasi muda bahawa mereka perlu menghargai kemerdekaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan.

Katanya semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan, mempertahan kemerdekaan serta mengisinya dengan perkara positif agar kemerdekaan negara terus dipertahankan sampai bila-bila. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment