*NAJIB Tun Razak bersama rakan kongsi antarabangsa Genovasi (dari kiri) Datuk Jimmy Choo, Joseph Lentsch, Dr. Timm Krohn, Dugie Cameron, Dr. Jerome Glenn, Salim Ismail dan Kamal Jit Singh (kanan) selepas mengumumkan pelancaran Genovasi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
Oleh HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA, RABU, 01 Ogos, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Genovasi (Generasi dan Inovasi) iaitu inisiatif baru kerajaan bagi membangunkan kemahiran inovasi di kalangan belia tempatan yang membolehkan mereka mencipta kekayaan serta memperbaiki taraf hidup.
Menurut Perdana Menteri, inisiatif itu selaras dengan kepentingan kemahiran inovasi sebagai strategi berkesan untuk mencapai kejayaan dalam persekitaran dunia yang diistilahkan sebagai VUCA iaitu tidak stabil, tidak pasti, rumit dan tidak jelas.
Beliau berkata, semua negara terkemuka di dunia telah menggunakan inovasi untuk mencapai peningkatan yang besar dalam membangunkan kemajuan mereka.
Katanya, Genovasi yang akan dilancarkan sebagai satu entiti tahun depan sekali gus memperlihatkan usaha kerajaan membangunkan belia menjadi Duta Inovasi Negara yang memainkan peranan aktif dalam mempertingkatkan dan memperbaiki negara.
"Kita menyasarkan sekurang-kurangnya seramai 5,000 Duta Inovasi Negara dapat dihasilkan dalam tempoh lima tahun akan datang melalui inisiatif itu," katanya ketika berucap melancarkan inisiatif Genovasi Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas (Unik), Datuk Dr. Kamal Jit Singh.
Genovasi akan bekerjasama dengan pemimpin inovasi global untuk menyampaikan tentang inovasi, kemahiran, kepakaran dan metodologi kepada Duta Inovasi itu.
Tiga laluan disediakan iaitu masyarakat (projek pusat untuk memberi manfaat kepada rakyat), ekonomi (projek menjana kekayaan gelombang baru) dan projek peningkatan kerajaan bagi membantu penyampaian perkhidmatan.
Menurut Najib, Unik diberi mandat untuk memantapkan penubuhan Genovasi, satu inisiatif pertama seumpamanya di ASEAN, bagi mencipta dan menghasilkan Duta Inovasi Negara yang akan ditaja oleh Agensi Inovasi Malaysia (AIM).
Katanya, mereka akan dilantik oleh AIM untuk memula dan melaksanakan projek menerusi tiga laluan tersebut.
"Genovasi akan dilancarkan pada awal tahun depan sebagai satu entiti dan saya harap ia diberikan status universiti dalam masa lima tahun," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan memahami dan menghargai bahawa belia tidak lagi mahu menjadi penonton pasif dan ingin terlibat secara aktif dalam membangunkan negara yang bakal mereka warisi.
"Inisiatif itu akan memberi jalan kepada mereka untuk bersatu dengan negara, memberikan semangat serta komitmen bagi membina Malaysia.
"Lagipun, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meninggalkan asas yang kukuh dan kuat untuk belia membina masa depan kelak," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment