My Add

Thursday, 2 August 2012

Kampus UiTM Raub siap tiga tahun lagi

*NAJIB Tun Razak menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Masyarakat Daerah Raub yang dihadiri kira-kira 10,000 rakyat di Padang Awam Kampung Gali Tengah, Raub, semalam.

RAUB, RABU, 01 Ogos, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Raub bernilai RM230 juta.

Menurut Perdana Menteri, pembinaan kampus UiTM itu akan siap dalam tempoh tiga tahun dengan kerja-kerja awal pembersihan tapak sudah mula dilakukan.

"Insya-Allah saya akan datang sekali lagi ke Raub pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian bagi merasmikan majlis pelancaran pembinaan kampus UiTM ini.

"Dengan adanya kampus baru UiTM ini, pasti akan memberi manfaat yang besar kepada penduduk dan kemajuan ekonomi daerah ini," katanya.

Najib berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Masyarakat Daerah Raub di Padang Awam Kampung Gali Tengah di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Shahirudin Ab Moin dan Duta Khas negara, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Perdana Menteri kemudiannya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama penduduk.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan pembinaan sebuah masjid baru untuk penduduk Kampung Gali Tengah.

Sementara itu, Najib mengajak rakyat menilai kemampuan pakatan pembangkang dalam menjamin keharmonian untuk negara seperti mana yang dilakukan BN.

Katanya, dalam negara yang penuh kepelbagaian seperti Malaysia, ia bukan mudah untuk memastikan kestabilan namun kerajaan yang ada pada hari ini berjaya tunaikannya sejak kemerdekaan.

"Tapi kita tak jamin mereka boleh dapat tunai. Kalau dalam soal asas termasuk Perlembagaan negara mereka tak boleh sepakat, maka satu persoalan besar kita boleh lontar apakah mereka mampu jamin keharmonian," jelasnya.

Dalam pada itu, Najib menyeru pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencontohi sikap kesetiaan panglima perang Islam, Khalid al-Walid yang taat kepada keputusan pemimpin walaupun ketika menerima berita digantikan.

"Apabila menerima berita digantikan dengan panglima lebih muda, Khalid al-Walid terima dengan penuh terbuka dan memberi penghormatan kepada penggantinya.

"Kalau nak menang mesti setia kepada pemimpin. Ini perjuangan yang bagi sesiapapun kalau setia pada pemimpin akan menang termasuk kita UMNO dan BN," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment