My Add

Friday 24 August 2012

Gesaan dakwa Pemuda UMNO dianggap tidak masuk akal

PADANG RENGAS, KHAMIS, 23 Ogos, 2012: Gesaan supaya Pemuda UMNO didakwa mengikut Seksyen 114A Akta Keterangan berhubung satu kenyataan berbaur sensitiviti agama dalam laman sosial dianggap tidak masuk akal kerana pergerakan itu belum didapati bersalah di bawah undang-undang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, ini kerana seksyen yang dipinda di Dewan Rakyat pada April lalu hanya satu prosedur untuk mensabitkan kesalahan di bawah undang-undang negara.

"Peguam Negara tidak boleh mendakwa Pemuda UMNO di bawah Seksyen 114A Akta Keterangan dan Pemuda UMNO juga tidak boleh didakwa atau didapati bersalah di bawah seksyen ini.

"Namun, sekiranya Pemuda UMNO didapati bersalah di bawah undang-undang Malaysia, maka seksyen itu boleh digunakan sebagai prosedur jika ada bukti dan pihak mahkamah turut yakin bahawa satu kesalahan telah dilakukan," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Taman Anggerik dekat sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai desakan oleh parti pembangkang supaya Peguam Negara menggunakan pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan untuk mendakwa Pemuda UMNO berhubung satu poster berbaur hasutan yang dipaparkan dalam satu laman sosial Facebook yang didakwa dikendalikan oleh pergerakan itu.

Poster tersebut memaparkan mesej "jika anda setuju untuk jadikan Kristian sebagai Agama Rasmi Persekutuan Malaysia teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. God bless you my son (Tuhan berkatimu, anakku)."

Dalam reaksi terhadap tuduhan itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menafikan laman sosial Facebook itu dikendalikan oleh pihaknya dan menegaskan akan membuktikan kebenaran itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri memberitahu, seksyen itu dipinda untuk melengkapkan Rang Undang-Undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Katanya, pindaan itu tidak bermaksud untuk mendakwa orang yang tidak bersalah dan pihak mahkamah juga mesti yakin bahawa satu kesalahan telah dilakukan sebelum kes dipindahkan kepada orang yang didakwa.

"Sehingga kini, pihak Pendakwa Raya belum menerima apa-apa hasil penyiasatan daripada pihak polis untuk mendakwa Pemuda UMNO di bawah apa-apa undang-undang Malaysia," ujarnya.

Beliau berkata, isu itu timbul ekoran perbuatan sesetengah pihak yang tidak faham undang-undang sehingga menyebabkan kekeliruan kepada rakyat.

"Memandangkan Pemuda UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan, maka ada pihak-pihak tertentu yang mahu menempelak kerajaan dengan membangkitkan isu ini yang langsung tidak masuk akal," katanya.

Beliau juga memuji tindakan bertanggungjawab Pemuda UMNO yang mengambil tindakan segera membuat laporan polis berhubung kewujudan laman sosial Facebook palsu itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment