My Add

Saturday 25 August 2012

Hudud: Amaran Abim jangan sampai cetus Islamofobia

 Amidi Abd Manan
SHAH ALAM, SABTU, 25 Ogos, 2012: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memberi amaran fenomena Islamofobia, yang melanda di luar negara, akan menular ke Malaysia jika DAP dan MCA tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam dalam polemik berkenaan hukum hudud.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, beberapa kenyataan yang dikemukakan oleh pimpinan MCA dan DAP yang sama sekali tidak mengambil kira sensitiviti serta intipati tersirat yang terkandung dalam perundangan hudud serta Islam secara keseluruhannya.

"Sekiranya keadaan ini berterusan serta tidak dibendung, fenomena Islamofobia yang membayangi keharmonian hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia akan menular ke negara ini," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Amidi juga berkata, Abim ingin menegaskan bahawa Islam sama sekali tidak menafikan hak serta kebebasan masyarakat bukan Islam.

"Hakikat serta penegasan tersebut telah digariskan secara jelas dan tegas dalam perundangan Islam (hudud secara khususnya), menerusi prinsip maqasid as-syar’iyyah.

"Lantaran itu, sebarang usaha untuk mempolemikkan perundangan Islam untuk menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan bukan Islam seharusnya dihentikan," kata beliau.

Amidi juga berkata, semua pihak harus bersedia memahami keadaan itu bagi mengatasi segala bentuk salah faham dalam masyarakat.

Justeru katanya, Abim menawarkan ruang penjelasan dalam bentuk perbincangan serta wacana yang bersifat akademik dan ilmiah.

"Abim juga bersedia untuk mengadakan siri penjelasan terkemuka dengan masyarakat awam terutama sekali di kalangan masyarakat bukan Islam," katanya.

Amidi juga berkata, oleh kerana Islam merupakan agama persekutuan, Abim mengecam sama sekali usaha pihak tidak bertanggungjawab yang ingin memomokkan perundangan hudud serta perundangan Islam sebagai sebuah agenda bersifat ancaman terhadap golongan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Kata beliau, Abim menilai tanggapan tersebut bersifat politik murahan yang dihalalkan untuk meraih dukungan politik secara meluas di kalangan masyarakat bukan Islam terutama sekali di saat negara dicengkam situasi politik 'black box' ataupun keadaan politik tidak menentu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment