My Add

Saturday 25 August 2012

UMNO timbulkan salah faham, bukan Pas: Harun Taib

 Dr Harun Taib
SHAH ALAM, SABTU, 25 Ogos, 2012: Pas tidak memberi gambaran salah mengenai hukum hudud, sebaliknya UMNO yang lama berbuat demikian, tegas Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib.

Menurutnya, tindakan Umno melalui surat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Kerajaan Kelantan menimbulkan kekeliruan dan impaknya salah faham dalam kalangan orang bukan Islam.

Katanya, tafsiran yang salah mengenai hudud juga timbul daripada kalangan pemimpin UMNO yang menolak hukum Islam tersebut dilaksanakan dengan membayangkan pelbagai perkara tidak masuk akal.

“Pihak yang menimbulkan kekeliruan mengenai hudud bukannya Pas, tetapi pemimpin UMNO. Mereka memainkan sentimen hukuman potong tangan sekiranya hudud dilaksanakan, sedangkan banyak pertimbangan yang perlu diambil kira.

“Ia akhirnya membawa kepada pandangan dan komen negatif rakyat bahawa hudud yang ingin Pas laksanakan itu hanyalah potong tangan semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, Pas sentiasa memberikan penjelasan mengenai hudud dalam ceramah dan forum sebagai usaha memberi pendidikan dan penjelasan khususnya kepada bukan Islam.

“Saya sendiri pernah mengeluarkan buku mengenai hudud, iaitu Hudud dan Perundangan Islam. Dalam kalangan pemimpin Pas juga ramai yang berbuat demikian.

“Ini adalah antara usaha kami menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai hudud,” katanya.

Jelasnya, yang menjadi persoalan bukanlah orang bukan Islam yang menolak hudud, sebaliknya orang Islam sendiri menentang hudud, yang seharusnya mempertahankan hudud.

Peranan Pas dalam memperjelaskan hudud menerima kritikan pelbagai pihak termasuk bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berpendapat tentangan kuat daripada DAP ke atas hudud berpunca daripada gambaran salah yang diberikan Pas.

Dr Mohd Asri seperti dilaporkan Sinar Harian, kelmarin, berkata, Pas sendiri gagal menjelaskan mengenai peruntukan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 yang diluluskan di Kelantan sehingga mengelirukan dalam kalangan orang bukan Islam. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment