My Add

Monday 27 August 2012

Jangan mudah berubah - PM

*NAJIB Tun Razak melayani kanak-kanak mengambil ais krim ketika beramah-mesra serta melayani pengunjung Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Parlimen Pekan di Pekan, Pahang, semalam. Dianggarkan lebih 100,000 orang menghadiri majlis itu dengan sajian pelbagai juadah antaranya lemang, ketupat, rendang, sate, nasi minyak dan aneka mi.


Oleh HERMAN HAMID


PEKAN, AHAD, 26 Ogos, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat supaya tidak membuat 'perubahan' yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.

Perdana Menteri berkata, bukan semua perubahan membawa kepada sesuatu yang baik dan rakyat tidak harus meletakkan kepercayaan kepada pihak yang menonjolkan diri mereka sebagai pilihan alternatif yang lebih baik.

Sebaliknya menurut Najib, mengekalkan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) yang selama 55 tahun terbukti memimpin negara dengan membawa begitu banyak kemajuan adalah tindakan yang terbaik bagi memastikan untung nasib rakyat terus terbela.

"Kita tidak boleh menukar kerajaan semata-mata kita berasakan sudah sampai masanya kita buat perubahan kerana kita bukan nak perubahan tetapi hendak sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.

"Dan kalau kita berubah tak semestinya perubahan itu mengundang sesuatu lebih baik. Kita tahu bahawa ada perubahan yang mengundang kepada sesuatu yang kita tidak jangka, malah menjadi lebih buruk daripada apa yang kita kecapi hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Najib menegaskan, rakyat mesti sedar bahawa bukan semua janji manis perubahan oleh pembangkang dapat ditunaikan.

Kata beliau, rakyat sebaliknya perlu berpegang kepada kerajaan hari ini yang diketahui mampu membawa keadaan yang lebih baik lagi pada masa depan.

"Kita jangan termakan hasutan atau janji manis pembangkang kerana kita sudah tahu empat negeri di bawah pentadbiran mereka menyaksikan banyak kekecewaan apabila banyak janji pilihan raya tinggal janji semata-mata.

"Oleh itu, marilah kita menguatkan lagi semangat untuk terus berjuang atas prinsip dan landasan yang telah terbukti membawa perubahan dan kejayaan bermakna kepada rakyat," jelasnya.

Dalam ucapan tersebut, Perdana Menteri turut mengajak rakyat supaya sedar bahawa tidak ada kerajaan di dunia ini yang mampu mengamalkan dasar bantuan demi bantuan tanpa menjana kekayaan baru.

Katanya, mana-mana negara yang cuma memberi bantuan tanpa memikirkan cara menjana kekayaan baru, maka ekonomi mereka akan merudum dan menghadapi banyak masalah.

"Negara Eropah yang gagal jana kekayaan baru turut menyebabkan negara maju menghadapi krisis ekonomi yang cukup berat hingga kadar pengangguran mereka berada pada 45 peratus seperti Sepanyol yang handal bermain bola sepak tetapi tidak dalam menguruskan ekonomi.

"Akhirnya rakyat akan menderita. Ini semua pengajaran kepada kita. Kalau sudah ada sesuatu yang terjamin dan terbukti maka eloklah dikekalkan kerana kita tahu boleh bergantung harap untuk memperjuangkan untung nasib rakyat," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment