My Add

Sunday 26 August 2012

Juadah istimewa Pekan di Rumah Terbuka PM

PEKAN, SABTU, 25 Ogos, 2012: Puding raja dan opor daging yang merupakan juadah istimewa Pekan antara menu utama yang bakal menanti para tetamu dari seluruh negara pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini esok.

Majlis yang akan diadakan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar itu akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 2 petang dan dijangka dihadiri kira-kira 70,000 pengunjung pelbagai kaum.

Rumah terbuka ini juga menyaksikan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama pemimpin kerajaan negeri dan UMNO Bahagian Pekan termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob beramah mesra dengan rakyat pelbagai lapisan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhammad berkata, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom juga dijadualkan berangkat ke majlis berkenaan.

"Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Keseluruhannya kita jangka tidak kurang 50,000 akan hadir dan jumlahnya mungkin meningkat sehingga 70,000 atau lebih memandangkan majlis esok cukup istimewa," katanya pada sidang akhbar selepas memberi taklimat kepada para petugas program berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, lebih 200 gerai akan menyediakan pelbagai jenis makanan 1Malaysia kepada pengunjung seperti nasi beriani, nasi bukhara, ketupat, sate dan lemang selain hidangan tradisi negeri ini iaitu laksa Pahang dan ikan patin masak tempoyak.

Katanya, bagi memberi kemudahan dan keselesaan para pengunjung, lebih 180 khemah, 10,000 kerusi dan 4,000 meja disediakan.

Selain itu kata beliau, beberapa artis tempatan turut akan memeriahkan majlis tersebut seperti Awie Wings, Syed Sobri, D.J Dave, Hattan, Noraniza Idris, Nasir Wahab dan Lena Akademi Fantasia manakala Linda Onn, Sharifah Shahira, Sathia dan Lan Pet Pet pula bertindak sebagai pengacara majlis. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment