My Add

Friday 24 August 2012

Kaji pencapaian pembangkang

Nazura Ngah | 
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 23 Ogos, 2012: Rakyat perlu membuat pertimbangan dan penilaian rasional terhadap pencapaian pembangkang di empat negeri diperintah mereka sebelum memberi mandat percubaan kepada pakatan itu untuk memerintah negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata rakyat juga perlu membuat perhitungan yang bijak dan membandingkan kejayaan di bawah kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan pakatan pembangkang.

Katanya, perbandingan bukan hanya dari segi pembangunan fizikal dan prasarana semata-mata, sebaliknya perlu turut membabitkan komponen pembangunan insan terutama pendidikan. “Jangan hanya menilai kerajaan atau parti atau kepemimpinan dari sudut janji yang ditabur di pentas ceramah semata-mata tetapi nilai dari aspek pentadbiran dan pelaksanaan manifesto tiga parti pembangkang.

“Sebagai contoh, kerajaan pakatan di Selangor gagal mengoptimumkan pelaburan sehingga menyebabkan pengangguran dan menjejaskan pembangunan infrastruktur. Jika keadaan itu menjejaskan peringkat negeri, fikirkan apa akan berlaku pada peringkat pusat.

“Kita perlu sedar permuafakatan ketiga-tiga parti pembangkang berada pada tahap paling rapuh akibat tidak ikhlas sesama mereka dan keadaan itu boleh menimbulkan masalah kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tindakan bahaya

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan tindakan memberi mandat percubaan kepada pembangkang untuk memerintah lima tahun adalah berbahaya.

Katanya, banyak perkara akan musnah dalam tempoh itu dan pembangkang akan memastikan BN tidak akan kembali memerintah.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan turut mengingatkan rakyat supaya tidak memperjudikan masa depan negara kepada pakatan yang tiada pengalaman memerintah selain dibarisi kepemimpinan yang moral mereka boleh dipertikaikan.

Jamin keadilan

Katanya, memberi mandat kepada tiga parti yang tidak sehaluan dasar utamanya sehingga menyebabkan empat negeri diperintah mereka berada dalam keadaan kelam kabut dengan pelbagai masalah dan banyak janji yang tidak ditepati.

“Jangan memperjudikan masa depan negara kepada PKR yang ramai pemimpinnya sudah lari meninggalkan parti itu, PAS yang tidak mementingkan perpaduan Melayu dan Islam serta DAP, parti chauvinis yang tidak mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam.

“Pilihlah, kerajaan BN yang menepati janji dan menjamin keadilan kepada semua lapisan masyarakat, - BH

No comments:

Post a Comment