My Add

Saturday 4 August 2012

Kekuatan BN tidak tergugat

*NAJIB Tun Razak berkata sesuatu kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff sewaktu majlis berbuka puasa bersama Ahli MT UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Sebanyak 100 anak yatim dari rumah kebajikan Asrama Damai, Kuang Selangor; Nur Hikmah, Kajang dan Kasih Harmoni, Rawang turut berbuka puasa bersama Ahli MT UMNO itu selain menerima sumbangan duit raya, Turut kelihatan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

Oleh ASRON MUSTAPHA, METRA SYAHRIL MOHAMED dan HUSSAINI AMRAN
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 03 Ogos, 201: Kekuatan dan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) tidak akan tergugat dengan desas-desus serta tindakan beberapa pemimpin dari Sabah meninggalkan parti itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN mampu menangani pelbagai cabaran dan beliau sendiri akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memantapkan kekuatan parti.

"Macam-macam desas-desus tersebar. Tetapi yang penting kekuatan BN tidak tergugat dan masalah itu mampu ditangani. Kita ada buat langkah-langkah sesuai untuk pulihkan kekuatan dan memantapkan semula parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Najib mengulas tindakan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin melepaskan jawatan dalam UMNO manakala Datuk Seri Wilfred Bumburing keluar parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Ditanya apakah tindakan kedua-dua pemimpin itu mengganggu perancangannya untuk mengadakan pilihan raya umum tahun ini, beliau menafikan sebaliknya menegaskan pilihan raya boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Najib menambah, beliau sudah bertemu dengan pemimpin-pemimpin BN Sabah dan akan turun ke negeri itu pada 11 Ogos ini untuk menyelesaikan masalah berkaitan parti.

"Berhubung kedudukan Ketua Bahagian UMNO Beaufort yang kosong, MT memutuskan mengikut Perlembagaan parti, Timbalan Ketua Bahagiannya, Isnin Aliasneh akan memangku jawatan itu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kabinet dan MT UMNO menyokong sepenuhnya usaha Kementerian Pelajaran untuk melakukan penyusunan semula sistem pendidikan negara supaya ia mencapai lonjakan luar biasa.

"Saya dimaklumkan proses dialog telah dilakukan secara menyeluruh dan berlangsung selama enam bulan. Butiran lanjut mengenai pelan transformasi pendidikan itu akan diumumkan pada 11 September ini," katanya.

Mengenai pendakwaan ke atas Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli ekoran kesalahan mendedahkan maklumat sulit pelanggan perbankan yang menyalahi Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA), ujar Perdana Menteri, perkara itu tidak perlu diulas kerana keputusan pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara.

Jelasnya, sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai penyelewengan sepatutnya membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukan kepada orang awam.

"Dia (Rafizi) didakwa di bawah BAFIA dan alasan BAFIA adalah untuk melindungi integriti sistem kewangan. Mereka yang ada akaun (bank) mahu dilindungi. Jika tidak sesiapa sahaja termasuk orang luar tidak akan letak duit dalam sistem kita," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment