My Add

Tuesday 28 August 2012

Kelab Penyokong: UMNO kena ikut Auku

MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
SHAH ALAM, SELASA, 28 Ogos, 2012: Sebarang pertubuhan politik tidak dibenarkan bergerak di dalam kampus kerana tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Berdasarkan kepada Auku, tidak boleh ada (pertubuhan) politik dalam kampus, jadi kita kena ikut undang-undang sedia ada. Itu sahaja komen saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dalam satu kenyataan berkata, Pemuda Umno akan menubuhkan kelab penyokong di setiap kampus institut pengajian tinggi awam di negara ini bagi meraih sokongan golongan mahasiswa terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Pada 19 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012, yang membenarkan penuntut universiti terbabit dalam politik dan memegang jawatan dalam persatuan serta pertubuhan di luar kampus.

Pindaan itu menyediakan peruntukan bahawa seseorang pelajar boleh menjadi ahli mana-mana pertubuhan, termasuk parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia.

Bagaimanapun, ia mengenakan sekatan ke atas penglibatan pelajar dalam aktiviti politik di kampus.

Malah rang undang-undang itu juga menghalang pelajar daripada memegang apa-apa jawatan dalam pertubuhan kampus atau bertanding dalam pemilihan di peringkat kampus jika memegang jawatan dalam parti politik.

Sekatan itu bertujuan untuk mengekalkan neutraliti dalam kampus.

No comments:

Post a Comment