My Add
Tuesday, 28 August 2012
Pengendali FB minta maaf, tiada kaitan Pemuda UMNO
*PAPARAN entri permohonan maaf yang dikeluarkan oleh akaun laman Facebook atas nama Pemuda UMNO Malaysia.
RAZIATUL HANUM A. RAJAK
SHAH ALAM, SELASA, 28 Ogos, 2012: Status sebenar sebuah akaun fanpage Facebook yang didaftarkan atas nama Pemuda Umno Malaysia terus menjadi perhatian dengan Khairy Jamaluddin menegaskan permohonan maaf datang daripada pengendali laman berkenaan sendiri.
Sabtu lalu, pengendali akaun itu meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung poster berbaur hasutan yang dimuat naik sebelum ini.
Banyak pihak mendakwa dan membuat tanggapan bahawa permohonan datang daripada Pemuda UMNO sendiri.
Khairy, Ketua Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN), semalam menjawab kekeliruan itu menerusi laman Twitternya dengan menafikan fanpage itu Facebook rasmi Pemuda UMNO.
Beliau juga menegaskan bahawa permintaan maaf itu bukan dibuat oleh Pemuda UMNO.
Katanya: “FB itu bukan FB laman rasmi Pemuda UMNO. Yang minta maaf itu pengendali laman FB tersebut bukan Pemuda UMNO.”
Beberapa mesej Khairy yang menjawab respons pengikutnya berhubung permintaan maaf itu juga membawa maksud yang sama.
Salah seorang pengikut yang bernama Daniell Rezuwan berkata: “Permohonan maaf itu wajar. Cuma, Pemuda UMNO kena tahan dengan tohmahan flip-flop.”
“Apa flip-flop? Ia bukan laman kami. Pentadbir laman itu yang minta maaf. Bukan kami,” jawab Khairy ringkas.
Kemudian pemegang akaun itu mencadangkan agar akaun itu ditutup atau mengambil tindakan terhadap pentadbirnya.
Khairy menjawab: “Terserah kepada polis. Kami juga telah menulis kepada FB."
Pengikutnya yang lain juga mencadangkan agar tindakan tegas diambil ke atas pentadbir laman itu.
Pengerusi Unit Media Baru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tun Faisal Ismail Aziz ketika dihubungi menyokong kenyataan Khairy.
Katanya: “Kenyataan YB KJ betul. Yang mohon maaf adalah pentadbir laman tersebut dan ia bukan laman rasmi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. PPUM. Penglibatan rasmi adalah melalui YB KJ, YB Razali selaku Naib Presiden dan berita rasmi melalui laman web PPUM.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tiada akaun rasmi sama ada Facebook mahupun Twitter cuma laman rasmi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Laman web rasmi PPUM boleh diakses melalui http://www.pemudaumno.org.my.
Menurut Tun Faisal, pihaknya juga tidak pasti siapa yang mengendalikan laman itu, sama asa individu mahupun kumpulan tertentu.
“Kami pun tidak pasti siapa pentadbir laman itu sebenarnya. Ia mungkin hanya inisiatif individu atau kumpulan tertentu tetapi mereka bukan suara rasmi Pemuda UMNO,” katanya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan laman Facebook Pemuda UMNO Malaysia, yang akaunnya didakwa palsu, meminta maaf berhubung poster berbaur hasutan yang dibawa lebih seminggu lalu atas akaun pergerakan itu.
Akaun itu meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi entri ringkas beberapa jam selepas Khairy berkata bahawa pihaknya sudah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab atas penyebaran mesej itu.
Malah status Facebook itu juga menyatakan bahawa admin yang terbabit turut sudah dikeluarkan dari fanpage tersebut.
Tiga hari lalu, Khairy nmemberitahu pemberita bahawa beliau akan menyerahkan kepada polis nama-nama orang yang disyaki mengendali akaun palsu pergerakan itu.
Minggu lalu, Setiausaha Kerja Pemuda BN, Ibdillah Ishak membuat laporan polis berhubung satu akaun Facebook yang memuat naik poster berbaur fitnah di Balai Polis Tun H S Lee.
Laman itu memaparkan wajah Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian utama dan disusuli dengan siri laporan berkaitan dengan aktiviti-aktiviti pemimpin UMNO khususnya dari Selangor.
Poster yang kontroversi itu membawa mesej bahawa “Jika anda setuju untuk jadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment