My Add

Wednesday 1 August 2012

Lajim digesa keluar parti

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Julai, 2012: Datuk Seri Lajim Ukin perlu membuat keputusan keluar daripada UMNO secepat mungkin sebagai membuktikan beliau seorang ahli politik yang bermaruah dan berprinsip.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, biarpun Lajim seperti bermain tarik tali kerana bertindak meletak jawatan secara berperingkat, namun UMNO tidak akan terperangkap dengan 'permainan' itu.

Jelasnya, Ahli Parlimen Beaufort tersebut tidak perlu mengharapkan adanya proses 'tawar-menawar' daripada pihak parti untuk memujuk beliau supaya tidak meninggalkan UMNO kerana ia hanyalah perbuatan yang sia-sia.

''Beliau cuba mengugut dengan meletak jawatan secara berperingkat supaya dipujuk.

''Pada saya, beliau tidak perlu tunggu dipecat, tetapi harus keluar sekiranya beliau bermaruah,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Puad mengulas tindakan Lajim yang meletak jawatan politik dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabtu lalu, namun belum membuat keputusan untuk keluar daripada parti atau melepaskan jawatan dalam Kabinet.

Ekoran itu, UMNO memberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dipecat daripada parti.

Hari ini Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan membatalkan pelantikan Lajim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, katanya, tindakan Lajim yang cuba melambat-lambatkan proses keluar parti tersebut jelas mengikut tindak-tanduk yang pernah dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana kata Mohd. Puad, Ketua Pembangkang itu mendakwa bahawa beliau tidak pernah keluar UMNO sebaliknya telah dipecat.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron pula berkata, tindakan Lajim tersebut disifatkan sebagai seorang oportunis yang terdesak selain termakan dengan janji-janji manis pemimpin pembangkang untuk dilantik sebagai Ketua Menteri jika mereka menang dalam pilihan raya umum nanti. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment