My Add

Monday 27 August 2012

Lulus dana atasi isu air bukti PM prihatin

KOTA BHARU, AHAD, 26 Ogos, 2012: Tindakan Kerajaan Pusat meluluskan segera peruntukan RM2 juta bagi mengatasi masalah bekalan air di Kelantan menunjukkan keprihatinan Datuk Seri Najib Razak terhadap masalah rakyat di negeri ini.

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali, berkata Perdana Menteri pada mulanya menimbang permohonan berkenaan, namun tidak sampai 24 jam kemudian, menukar keputusan itu dengan meluluskan peruntukan RM2 juta.
 "MTRK tidak menyangka Najib bertindak segera membela nasibrakyat Kelantan terutama penduduk di beberapa daerah mengalami masalah air kritikal dan kami terhutang budi dengan jasa yang amat besar itu” - Azmi Ali, Presiden MTRK
“Masalah air di Kelantan seharusnya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri namun atas dasar pemimpin mengutamakan rakyat, Najib meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membolehkan rakyat Kelantan menikmati kemudahan air sekali gus hidup dalam keadaan selesa.

“MTRK tidak menyangka Najib bertindak segera membela nasib rakyat Kelantan terutama penduduk di beberapa daerah yang mengalami masalah air kritikal dan kami terhutang budi dengan jasa yang amat besar itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam, yang menjelaskan bahawa Najib meluluskan peruntukan RM2 juta untuk mengatasi isu air di Kelantan.

Mustapa berkata, peruntukan itu akan digunakan di beberapa daerah yang mengalami masalah air kritikal membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Bachok serta Kota Bharu dan 20 kawasan sudah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek bekalan air bersih.

Azmi berkata, MTRK sebelum ini menyerahkan memorandum kepada Najib ketika mengunjungi Kelantan pada 5 Ogos lalu, meminta supaya Perdana Menteri meneliti masalah dihadapi rakyat Kelantan berkaitan dengan isu air.

“Susulan memorandum itu, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan untuk memasang mesin penapis air menggunakan teknologi terkini dan sebagai permulaan mesin berkenaan sudah dipasang di dua kawasan iaitu Kampung Derdap, Tumpat dan Kubang Bemban, Pasir Mas,” katanya.

Beliau berkata, akibat masalah air, ada penduduk Kelantan terpaksa mencari pelbagai alternatif bagi mendapat bekalan air bersih antaranya dengan menggali telaga yang membabitkan kos antara RM1,500 hingga RM2,000.

“MTRK bersyukur dengan tindakan segera Najib meluluskan peruntukan itu dan beberapa kawasan kritikal sudah menikmati kemudahan bekalan air bersih sekali gus dapat menyambut Aidilfitri dengan keadaan selesa,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment