My Add

Monday 27 August 2012

Perubahan tidak boleh berlaku hanya melalui janji

KUALA LUMPUR, AHAD, 26 Ogos, 2012: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron berkata, sesuatu perubahan tidak boleh berlaku hanya dengan janji manis yang tidak realistik dan imaginatif.

Selain itu tegas beliau, sikap populis tidak akan membawa kebaikan kepada struktur dan sistem masyarakat bahkan ia akan merosakkan kitaran sosial yang telah dibina sejak merdeka.

"Oleh itu perubahan bukan sekadar untuk berubah, perubahan dalam konteks realistik mestilah diisi dengan perancangan yang terperinci.

"Malahan ia juga harus melalui pelan-pelan tindakan serta pelaksanaan dengan ukuran pencapaian yang sebenar dan objektif," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peringatan Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta rakyat supaya tidak membuat 'perubahan' yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.

Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat supaya jangan mudah termakan janji manis pembangkang yang ternyata gagal mentadbir empat buah negeri yang dimenangi selepas pilihan raya umum 2008.

Idris seterusnya menegaskan, selama ini masyarakat mengamalkan sikap bertanggungjawab dan berintegriti dengan memastikan segala pinjaman seperti melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dibayar kembali.

"Tetapi malangnya pakatan pembangkang menganjurkan supaya pinjaman PTPTN tidak perlu dibayar dan mereka mencontohi negara luar yang hari ini telah runtuh struktur sosial mereka seperti mana berlaku di Asia Barat," tegas beliau.

Menurut Idris, pembangkang juga menganjur generasi muda bersikap biadab sehingga tergamak menghina anggota polis dan ada pemimpin mereka dilihat derhaka kepada ibu sendiri.

"Ini bukan perubahan yang diharapkan bahkan ia akan mengundang malapetaka sosial di negara ini. Oleh itu, rakyat perlu memahami bahawa transformasi politik, sosial dan ekonomi yang dibawa oleh kerajaan mengambil kira kepada faktor 4M seperti Method (pendekatan), machine (sistem), money (bajet) dan man (manusia).

"Semua ini bertepatan dengan hasrat kerajaan supaya negara akan bersedia berhadapan dengan cabaran yang lebih getir di masa depan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment