KOTA KINABALU, RABU, 01 Ogos, 2012: Masa depan Malaysia lebih terjamin di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang kini giat mentransformasikan negara ini menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, kata bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Sakaran Dandai.
Tokoh veteran itu berkata, berdasarkan pengalamannya berpolitik selama lebih 50 tahun dan menempuh pelbagai cabaran dalam proses pembangunan, negara ini sudah mengalami perubahan yang ketara dari aspek pembangunan hasil usaha pemimpin negara terdahulu sehingga kini.
"Oleh itu, rakyat seharusnya bersyukur kerana negara ini dianugerahkan pemimpin yang bukan sahaja berjaya memerdekakan negara daripada belenggu penjajah tetapi juga benar-benar berjuang untuk membela nasib rakyat," katanya.
Menyentuh mengenai kepimpinan Najib, Sakaran berkata transformasi negara lebih ketara di bawah pentabdiran Najib yang adalah arkitek konsep 1Malaysia.
"Saya melihat Najib memiliki keistimewaan tersendiri. Beliau ingin melihat negara ini memasuki era kecemerlangan dengan lebih pantas," katanya.
"Bukan ramai pemimpin negara yang memiliki keistimewaan seperti Najib kerana saya perhatikan dalam tempoh empat tahun sahaja beliau menjadi Perdana Menteri, rakyat sudah merasa apa yang beliau lakukan.
"Apa yang beliau janjikan kepada rakyat, beliau tunaikan. Misalnya konsep 1Malaysia yang mengutamakan kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama ... kini kita ada Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia, Komputer 1Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, kenaikan gaji kakitangan awam, subsidi untuk nelayan dan peruntukan pembangunan luar bandar yang besar.
"Semua ini menjurus kepada kejujuran Perdana Menteri 'menolong' orang kita tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.
Sakaran yakin lebih banyak lagi kemudahan yang akan dinikmati oleh rakyat sama ada di bandar atau luar bandar sekiranya Najib terus diberi mandat memimpin negara ini.
Beliau berkata, agenda transformasi negara pasti memerlukan masa untuk dilaksanakan sepenuhnya dan sebab itu kerajaan BN perlu dipertahankan dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, kerajaan BN telah memainkan peranan penting dalam membawa rakyat dan negara ini di landasan yang betul untuk terus maju dan membangun, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga dari segi rohani, perpaduan, hormat-menghormati dan nilai modal insan.
"Di Sabah ini, rakyat pernah berada dalam pemerintahan pembangkang untuk beberapa ketika dan kita sudah merasa kesusahan apabila kita tidak ada hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan persekutuan.
"Kalau tidak ada kerjasama antara negeri dan persekutuan, pelaksanaan pembangunan pun agak lembab, jadi kita tidak mahu lagi ia berulang di Sabah, kita sudah lihat bagaimana pantasnya pembangunan di Sabah di bawah BN," katanya.
Sakaran berkata, kerajaan BN Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, juga meletakkan kedudukan ekonomi yang lebih kukuh.
"Harapan saya ialah rakyat Sabah akan terus menyokong kerajaan dan Sabah terus menjadi kubu kuat BN pada pilihan raya akan datang, sekaligus mengulangi pencapaian cemerlang dalam pilihan raya 2008," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment