KUALA LUMPUR, RABU, 01 Ogos, 2012: Malayan Banking Bhd (Maybank) yakin dapat meneruskan momentum pertumbuhan tahun ini hasil daripada pertumbuhan ekonomi serantau yang kukuh.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata negara-negara tempat bank itu beroperasi pada masa ini - termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan negara lain di Asean - mengekalkan asas ekonomi yang kukuh.
"Di Malaysia sebagai contoh, kami menjangkakan pertumbuhan setahun penuh dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK) kira-kira 4.4 peratus, Singapura berkembang tiga peratus, dan Indonesia kira-kira enam peratus.
"Berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh ini, kami menjangkakan sektor perbankan juga akan turut meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Selasa selepas majlis berbuka puasa Yayasan Maybank dengan warga tua, anak yatim, ibu tunggal dan golongan kelainan upaya.
Abdul Wahid berkata persekitaran pasaran yang kondusif di tempat Maybank beroperasi, menyediakan peluang untuk bankitu terus berkembang dan kekal menguntungkan.
Mengenai perkembangan operasi Maybank di Indonesia, beliau berkata anak syarikat bank berkenaan di negara itu, PT Bank Internasional Indonesia Tbk (BII), berjaya merekodkan pertumbuhan kukuh pada separuh pertama tahun ini.
BII mencatat peningkatan keuntungan lebih 61 peratus kepada 592 bilion rupiah Indonesia (RM196 juta) dengan pertumbuhan pinjaman yang sihat sebanyak 24 peratus dan pinjaman tidak berbayar bersih kurang dari satu peratus.
"Keseluruhannya, operasi kami berjalan dengan baik di Indonesia. Petugas kami bekerja keras di sana dan berdasarkan pertumbuhan kukuh dalam ekonomi dan persekitaran yanng kondusif di Indonesia, kami menjangkakan prestasi BII akan terus meningkat," katanya.
Abdul Wahid juga mengulangi keyakinannya bahawa Maybank akan mengekalkan pemilikan majoriti dalam BII, walaupun Bank Pusat Indonesia menetapkan garis panduan baharu yang mengehadkan pemilikan asing dalam bank-bank tempatan.
"Pada masa ini, kami menguasai 97 peratus. Berdasaran peraturan sebelum ini, kami bersetuju mengurangkan pemegangan kepada 80 peratus. Kami berharap dapat mengekalkan 80 peratus itu," katanya.
Bulan lalu, Bank Indonesia mengumumkan peraturan baru yang mengehad pemilikan entiti asing dalam bank-bank tempatan, kepada maksimum 40 peratus, namun mengecualikan pemegangan majoriti sedia ada jika mereka mematuhi standard tadbir urus korporat dan kewangan yang sihat. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment