My Add

Wednesday 22 August 2012

Mohd. Irwan Serigar dilantik KSU Perbendaharaan

KUALA LUMPUR, RABU, 22 Ogos, 2012: Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan mulai Jumaat ini.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pelantikan Mohd. Irwan, 55, adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang tamat kontrak esok.

Mohd. Irwan yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa, Ijazah Sarjana dalam bidang Dasar dan Pengurusan Tenaga Universiti Philadelphia Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Demografi Universiti Malaya mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam menerusi lantikan ke Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 9 Jan 1984.

Kenyataan itu berkata, pelantikan Mohd. Irwan Serigar dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan beliau khususnya dalam pengurusan kewangan dan ekonomi semasa memegang beberapa jawatan dalam Kementerian Kewangan.

Antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) sejak 31 Dis 2010, Setiausaha Bahagian, Bahagian Analisis Ekonomi dan Antarabangsa, Timbalan Setiausaha Bahagian (Makro Ekonomi) di bahagian yang sama, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Nasihat Pengurusan Kewangan dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Analisis Ekonomi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment