My Add

Tuesday 21 August 2012

MTUC mahu faedah lama KWSP dikembalikan

PETALING JAYA, SELASA, 21 Ogos, 2012: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) segera mengembalikan semula formula lama bayaran faedah kematian dan hilang upaya kepada 6.28 juta pencarum yang aktif.

Di bawah formula itu, pencarum berhak menerima pembayaran sekali antara RM1,000 hingga RM30,000 daripada Tabung Faedah Kematian dan Hilang Upaya KWSP, kata Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam.

Bagaimanapun pada masa ini, mereka hanya dibayar RM5,000 untuk hilang upaya dan kadar sama rata RM2,500 untuk kematian daripada dana itu, katanya.

Beliau berkata, bayaran itu tidak mencukupi memandangkan hakikatnya Malaysia tidak mempunyai sistem faedah bagi mereka yang tidak bekerja atau skim insurans kebangsaan untuk pekerja sektor swasta.

Ia juga tidak mempunyai polisi kesihatan kebangsaan untuk membantu mereka yang menganggur dan keluarga mereka apabila penanggung tunggal keluarga tiba-tiba mati atau hilang upaya, katanya.

Balasubramaniam berkata, berdasarkan kajian MTUC pencarum yang paling terdedah kepada kemalangan dan penyakit adalah buruh kasar dan mereka yang bekerja luar.

Katanya, memandangkan hakikat kos sara hidup meningkat, adalah sangat bersesuaian supaya dana itu dilaksanakan berdasarkan kuantum pembayaran lama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment